BAZAR Ramadan boleh dianggap sebagai pelengkap kepada sambutan bulan mulia itu di negara ini.
Perkataan ‘bazar’ daripada istilah Parsi yang membawa kepada maksud ‘pasar’ itu cukup menggambarkan kemeriahannya tiap kali tibanya Bulan Ramadan.
Ia semestinya menjadi destinasi pilihan kepada segenap lapisan masyarakat dalam memperoleh pelbagai juadah untuk dihidangkan di meja pada waktu berbuka.
Malah, ia amat membantu kepada mereka yang yang berhadapan dengan kesibukan kerja sehingga memberi kekangan untuk memasak juadah berbuka sendiri.
Seawal jam 4.30 petang, orang ramai sudah mula mengunjungi Bazar Ramadan Stadium Perak untuk mendapatkan juadah berbuka puasa hari pertama masing-masing
Namun disebalik kesesakan orang ramai itu, ada juga antara pelancong asing bukan Muslim yang melihat bazar berkenaan sebagai satu keunikan di negeri dan negara ini.
Laura, 31, dan Hanna, 21, berkata, pengalaman kali pertama mengunjungi bazar Ramadan adalah antara yang paling akan diingat sepanjang 10 hari berada di Malaysia.
Mereka yang masing-masing berasal dari Negara Amerika Syarikat dan Itali itu memberitahu, kepelbagaian makanan tradisional dan moden daripada pelbagai kaum menjadikan bazar Ramadan berkenaan unik.
“Saya amat tertarik dengan kek kecil (kuih-muih) pelbagai warna yang dijual di sini. Selain itu, pelbagai pilihan makanan yang dimasak sendiri di sini juga menarik,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Menurut dua rakan itu, mereka mengetahui tentang Bazar Ramadan Stadium Perak selepas mendapat informasi daripada petugas di Pusat Penerangan Pelancongan, di sini.
“Pada hari ini (Selasa), kami hanya membeli air minuman kerana kami sudah makan tengah hari. Esok (Rabu) kami bercadang untuk ke sini sekali lagi, untuk mendapatkan pelbagai makanan menarik,” ujar mereka.
Di samping itu, bagi pengunjung warga tempatan, Aimy Amirah Jaafar, 27, Bazar Ramadan Stadium Perak amat sinonim dengan kemeriahannya tiap kali tiba Ramadan.
Katanya, walaupun sesak, dia dan suami akan tetap ke bazar berkenaan kerana mahu mendapatkan kepelbagaian juadah yang dijual di situ khususnya kuih-muih.
“Disebabkan faktor harga makanan yang semakin naik, kami hanya ke bazar Ramadan selang sehari sahaja dalam seminggu, yang mana selainnya kami memasak di rumah.
“Meskipun kerap ke sini, kami masih bersederhana dalam berbelanja. Kebiasaanya kami akan merancang terlebih dahulu apakah juadah yang hendak di beli,” ujarnya.
Harap limpahan rezeki pada bulan mulia
Bagi peniaga, Bazar Ramadan Stadium Perak boleh disifatkan sebagai bazar Ramadan utama atau tumpuan di Bandar Raya Ipoh ini.
Nur Izzah Md Masror, 43, berkata, dia sudah berniaga dengan menjual puding karamel di bazar berkenaan sejak tahun 2007 lagi.
Katanya, peniaga kecil sepertinya amat menantikan Bulan Ramadan kerana ia peluang bagi mereka untuk mencari pendapatan lebih.
“Walaupun harga bahan mentah mengalami sedikit kenaikan, namun saya tidak menaikkan harga barang kerana saya tidak mahu pelanggan terbeban. Namun, saya berharap adanya limpahan rezeki pada bulan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Miker Food, Mohd Amzari Zamri, 40, memberitahu tahun ini merupakan tahun keempat dia berniaga cucur udang di Bazar Ramadan Stadium Perak.
Berkongsi harapan sama, Mohd Amzari berkata, dia berharap bazar berkenaan terus menerima kunjungan ramai biarpun kos sara hidup kini semakin meningkat.
“Kami masih mengekalkan harga RM8 bagi setiap set cucur udang kami. Dan kami berharap kuasa pembeli pada sepanjang Ramadan kali ini akan terus baik,” jelasnya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: