IPOH –Tindakan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersembunyi di belakang pintu, dalam bilik dan tandas gagal selepas mereka dicekup Jabatan Imigresen Perak menerusi Op Pintu yang dilaksanakan di Rumah Pangsa Bercham, awal pagi Sabtu.
Kedegilan penghuni yang enggan membuka pintu menyebabkan pasukan serbuan terpaksa mengumpil jeriji besi serta menendang pintu walaupun sudah diminta untuk berbuat demikian beberapa kali secara baik.
Kehadiran pasukan bertugas menyebabkan warga asing terbabit ketakutan serta bertindak melakukan pelbagai cara bagi mengelakkan diri ditangkap.
Malah, cubaan segelintir PATI melarikan diri tidak berjaya selepas dikejar pegawai Imigresen bertugas dalam operasi itu.
Serbuan yang bermula jam 12.30 malam itu menyasarkan semua 15 blok kediaman tersebut membabitkan 560 unit rumah.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, operasi itu melibatkan 157 pegawai dan anggota Imigresen Perak termasuk Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta telah memeriksa 300 unit rumah yang dikategorikan sebagai hot spot kerana lebih 80 peratus warga asing tinggal di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pihaknya memeriksa 358 orang warga asing dan daripada jumlah itu mereka menahan 158 orang terdiri daripada 93 lelaki, 54 perempuan dan 11 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 60 tahun.
“PATI yang ditahan berasal dari negara Bangladesh, Indonesia, China, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka, Myanmar dan Vietnam.
“Kesemua PATI itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.
“Lokasi ini adalah hot spot Jabatan Imigresen kerana mungkin dekat dengan tempat mereka bekerja dan mungkin juga dekat dengan pasar raya tempat untuk memudahkan mereka mendapat keperluan harian,” katanya pada sidang media di lokasi operasi di sini, awal pagi tadi.
Dalam pada itu, Meor Hezbullah menasihatkan pemilik premis warga tempatan supaya memastikan warga asing yang ingin mendiami premis mereka perlu memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Warga tempatan yang membenarkan PATI menduduki premis mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan sekiranya terbukti berlaku kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan ataupun kedua-duanya,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut ke atas semua PATI itu sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Sembunyi belakang pintu, cuba larikan diri taktik PATI elak dicekup Imigresen […]