KUALA KANGSAR – Tindakan seorang pemborong yang menjual ayam standard melebihi harga kawalan pada tahun lalu membawa padah apabila didenda di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini.
Orang Kena Saman (OKS), Sharuddin Saidon, 54, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Lelaki itu juga boleh dikenakan hukuman penjara maksimum empat bulan jika gagal membayar denda. OKS terbabit membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Sharuddin didakwa menjual barangan harga terkawal iaitu ayam standard dengan harga RM8.90 sekilogram melebihi harga borong maksimum yang ditetapkan oleh Pegawal iaitu RM8.10 sekilogram seperti di bawah Perenggan 3 Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No 12) 2022.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Besar, Padang Rengas antara jam 6.30 pagi hingga 7 pagi pada 14 Oktober 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Sharuddin yang tidak diwakili peguam memohon supaya hukuman denda minimum dikenakan ke atasnya dengan alasan perlu menanggung keluarga serta bercadang untuk membayar bonus kepada lima pekerjanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hasyutantee Khalil memohon supaya hukuman denda maksimum dikenakan ke atas OKS kerana bertindak menaikkan harga sebanyak 80 sen serta membebankan peruncit dan orang awam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemborong didakwa jual 10,920 liter diesel kepada syarikat tidak berlesen