Pemborong didakwa jual 10,920 liter diesel kepada syarikat tidak berlesen

IPOH – Sebuah syarikat pemborong minyak diesel didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menjual barang kawalan berjadual iaitu 10,920 liter minyak diesel kepada syarikat yang tiada lesen atau kelulusan bertulis daripada Pengawal Bekalan pada November 2022.

Fullyee Petroleum PLT yang diwakili rakan kongsi, Yip Kian Yew, 54, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan sebagai pemegang lesen borong (No. Lesen PB0800018) didapati telah menjual barang kawalan berjadual iaitu 10,920 liter diesel kepada syarikat K2 Bitumen Sdn Bhd yang tidak mempunyai lesen atau kelulusan bertulis yang sah daripada Pegawai Bekalan.

Kesalahan itu dilakukan di K2 Bitumen Sdn Bhd Lot 332577 (Plot 3), PT 9749 Taman Perindustrian Tungzen Kampung Kepayang, Batu Gajah antara jam 8 pagi hingga 5 petang 8 November 2022.

Dengan itu syarikat tersebut didapati melanggar Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan kedua atau kesalahan berulang denda tidak melebihi RM5 juta di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Suhana Mohd dan Hasyutantee Khalil manakala syarikat tersebut diwakili peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Mahkamah menetapkan 10 Januari tahun depan sebagai sebutan semula dan pengurusan kes. – MG Perak

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI