KUALA KANGSAR – Tujuh premis termasuk tiga rumah kedai dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Daeng Selili Bandar, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 9.15 pagi.
Menurutnya, selepas menerima panggilan kecemasan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi.
Tambahnya, BBP Sungai Siput turut memberikan bantuan menjadikan keseluruhan keanggotaan adalah seramai 21 orang.
“Sewaktu tiba di lokasi kita mendapati kebakaran melibatkan tujuh buah struktur kelas C dengan anggaran keluasan 20 x 40 setiap satu dan juga sebuah kenderaan.
“Kebakaran itu melibatkan tiga buah rumah kedai satu tingkat, dua rumah satu tingkat dan satu rumah dua tingkat serta Honda CRV yang musnah terbakar kira-kira 90 peratus.
“Manakala, sebuah rumah satu tingkat hanya terbakar lima peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, empat buah rumah kosong tidak berpenghuni manakala tiga lagi rumah kedai berpenghuni dan kebakaran tidak melibatkan mangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan: