IPOH – Perak memerlukan peruntukan sebanyak RM640 juta bagi melaksanakan rancangan tebatan banjir di empat lokasi membabitkan tiga daerah sekitar negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Empat lokasi tersebut adalah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kinta Fasa Tiga, RM300 juta dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Sama Gagah di daerah Kerian (RM250 juta) serta dua di daerah Larut Matang dan Selama iaitu Rancangan Tebatan Banjir Pekan Kuala Sepetang (RM55 juta) dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Trong (RM35 juta).
“Kami amat berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila diajukan beberapa perkara yang memerlukan perhatian kerajaan Persekutuan, khususnya melibatkan penyelesaian isu-isu kemashalatan rakyat.
“Ini termasuk keperluan kerajaan negeri untuk melaksanakan segera rancangan tebatan banjir yang begitu mendesak.
“Sehubungan itu, saya dan rakan-rakan dalam pentadbiran kerajaan negeri sangat berterima kasih di atas sikap keterbukaan Perdana Menteri dalam mendukung usaha dan ikhtiar untuk memastikan segala perancangan yang telah disusun dan atur demi kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak bersama Perdana Menteri di Kolej Poly Tech Mara, Bandar Meru Raya, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Sementara itu, Saarani berkata, pertemuan beliau dan Anwar hari ini menggambarkan betapa pentingnya hubungan simbiotik yang terjalin utuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Prinsip kebersamaan dan persefahaman ini yang menjadi nadi kepada setiap usaha yang digerakkan, bukan sahaja dalam konteks memacu ekonomi, tetapi juga untuk menanggapi isu-isu yang melingkari kehidupan rakyat.
“Kita yakin, kejayaan setiap dasar dan polisi kerajaan perlu sentiasa selari dengan aspirasi dan kehendak rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai sifat cakna Anwar yang amat menitikberatkan untuk menangani isu-isu rakyat.
“Menerusi pertemuan yang diadakan, termasuklah dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri, kami sentiasa berbincang, antaranya soal kenaikan kos sara hidup yang kian mencengkam kehidupan rakyat serta usaha bersungguh-sungguh dalam kita menoktahkan kemiskinan.
“Ia tidak mudah. Tetapi melihat kepada kesungguhan beliau (Anwar) untuk menjadikan agenda ini sebagai matlamat bersama di peringkat Persekutuan dan negeri, InshaAllah, hasrat kita untuk menoktahkan kemiskinan dan mengangkat martabat rakyat dapat kita jelmakan sebagai suatu kenyataan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Semua agensi, jabatan diminta sedia hadapi gelombang keempat MTL