IPOH – Aidilfitri pada tahun ini pastinya bermakna buat 50 anak yatim dan kurang berkemampuan apabila mereka menerima sepasang baju melayu dan baju kurung dari Yayasan Perak.
Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zabah Khan berkata, mereka yang berusia antara empat hingga 17 tahun dari Lenggong itu dibawa membeli-belah di gedung Tekstil Jakel Cawangan Ipoh.
Katanya, setiap daripada mereka diberi peluang memilih kelengkapan Aidilfitri masing-masing dengan anggaran kos RM150 seorang.
“Setiap tahun kita menyasarkan pemberian kelengkapan Hari Raya Aidilfitri kepada 50 kanak-kanak terdiri daripada anak yatim dan dari keluarga kurang berkemampuan.
“Keutamaan kami dalam usaha ini adalah untuk mengukir kegembiraan pada wajah anak-anak ini. Kami mahu mereka juga turut sama merasai keseronokkan (beraya dengan pakaian baharu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Gema Lebaran Yayasan Perak, di Gedung Tekstil Jakel Cawangan Ipoh, pada Rabu.
Program turut dihadiri isteri kepada Menteri Besar Perak yang juga Yang Dipertua Badan Amal Dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), Datin Seri Aezer Zubin.
Selain itu, Nasreen Khanum berkata, Yayasan Perak berharap agar segala usaha kebajikan berkenaan dapat diteruskan sebagai cerminan Yayasan Perak dalam memberi khidmat kepada rakyat di negeri ini.
Pada masa sama, Pengarah Eksekutif Jakel Perak, Emy Suraya Aziz berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang digerakkan Yayasan Perak itu.
Malah kata beliau, kerjasama melalui program yang memasuki tahun keempat itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dan membantu lebih ramai insan yang memerlukan.
“Bagi program-program seumpama ini, kami akan mengenakan potongan harga antara 35 ke 45 peratus bagi setiap baju penerima,” ujarnya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Yayasan Perak terima pensijilan MS ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti