KUALA KANGSAR – Sebuah cawangan kedai serbaneka yang menjadi tumpuan umum kebelakangan ini, berdepan denda RM2 juta selepas premis itu didapati tidak memiliki lesen runcit (CSA) untuk menjual gula, minyak masak dan tepung.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesalahan berkenaan diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berniaga barang kawalan tanpa lesen.
“Kira-kira jam 11.00 pagi, sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak Cawangan Kuala Kangsar telah melakukan operasi pemeriksaan ke atas sebuah kedai serbaneka berhubung satu iklan jualan murah barang kawalan gula dengan harga RM 0.10 sebungkus yang tular di media sosial.
“Melalui aduan orang awam tersebut, harga gula yang ditawarkan adalah sangat berpatutan dan hanya terhad untuk 200 pelanggan pertama sempena perbukaan cawangan pasaraya baru di mana pasaraya ini juga mempunyai rangkaian cawangan di seluruh negara.
“Pemeriksaan ke atas premis juga mendapati selain barang kawalan gula, turut diadakan jualan murah melibatkan air tin berkabonat dengan harga RM0.99 sen dan masih mengadakan jualan murah tersebut sejak 16 Mac 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, semakan awal turut mendapati pihak kedai serbaneka berkenaan disyaki tidak membuat permohonan untuk mengadakan jualan murah bagi tempoh jualan melebihi tiga hari.
“Ini adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 (Pindaan) 2019,” katanya.
Justeru tambah beliau, KPDN Perak menyita gula, minyak masak, tepung, resit jualan dan dokumen-dokumen berkaitan di pasar raya berkenaan dengan nilai sitaan sebanyak RM200.
Selain itu, Kamalludin berkata, bagi kesalahan tidak mengemukakan permohonan jualan murah, kes akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan dengan kesalahan suatu pertubuhan perbadanan akan didenda tidak melebihi RM25,000.
“KPDN memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana individu dan syarikat supaya mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan dalam menjalankan perniagaan.
“Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa,” tambah beliau lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
KK Mart Bidor dibaling bom petrol: Tiada tangkapan setakat ini – Polis