Dua beradik maut: Kontraktor tak mengaku salah memandu berbahaya

SUNGAI SIPUT – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput, pada Selasa atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua beradik minggu lalu.

Tertuduh, Lee Kin Peng, 52, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, Nurul Asyifa Redzuan.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa memandu sebuah pacuan empat roda dengan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian terhadap Ahmad Zuhal Norazlan, 17.

Kesalahan itu dilakukan di kilometer (km) 38 Jalan Ipoh – Kuala Kangsar, di sini, antara jam 7 hingga 7.15 pagi, pada 5 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan sama sehingga menyebabkan kematian terhadap, Ahmad Marikh Norazlan, 13, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Justeru dia dituduh di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama bagi kedua-dua pertuduhan.

Kontraktor tertuduh dua beradik maut sungai siput mahkamah mengaku tidak bersalah Kontraktor tak mengaku salah memandu bahaya menyebabkan kematian lelaki dituduh didakwa dia
Seorang kontraktor Lee Kin Peng, 52, (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput, pada Selasa atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua beradik minggu lalu. Foto ABDULLAH YUSOF, 9APRIL 2024.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara lima hingga 10 Tahun dan didenda sehingga RM50,000 dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang daripada lima tahun.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Vitthiyeswary sementara tertuduh diwakili Peguam, S Morgan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu harus melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, passport diserahkan kepada mahkamah serta, tertuduh diarahkan untuk tidak mengganggu saksi kejadian.

Nurul Asyifa menetapkan 11 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu media melaporkan, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 sedang dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru.

Ketika di lokasi kejadian, pemandu sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Ipoh secara tiba-tiba memasuki simpang kanan sehingga berlaku perlanggaran dengan motosikal mangsa.

Kemalangan itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal terbabit parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.- MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dua beradik maut: Waris layak terima faedah skim takaful pelajar – Exco

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI