GERIK – Kawalan keselamatan di semua pintu sempadan di negara dipertingkatkan supaya suspek kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak bolos ke negara jiran.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bersungguh-sungguh mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menangani isu berkenaan dengan segera.
Menurutnya, insiden seumpama itu bukan pertama kali kerana sudah banyak kes besar berlaku dan berjaya ditangani dengan baik.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk menyalurkannya kepada polis bagi mengesan suspek.
“Sehubungan itu, rakyat diminta jangan bimbang berhubung tahap keselamatan di KLIA kerana KDN dan polis termasuk semua agensi keselamatan terlibat sentiasa meningkatkan taraf keselamatan dari semasa ke semasa.
“Jadi rakyat tidak perlu risau kerana sama ada di KLIA atau di mana-mana pintu sempadan negara masih berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja dan Majlis Ramah Mesra bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan Pesara Polis di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim.
Semalam media melaporkan, seorang lelaki yang bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 di sini, dipercayai melarikan diri ke utara.
Dalam kejadian sekitar jam 1.15 pagi itu menyebabkan mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun itu parah akibat terkena tembakan pada bahagian perut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, motif yang dikenal pasti setakat ini lebih kepada perihal peribadi antara suspek dengan isterinya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kejadian tembak di KLIA Terminal 1 bersifat peribadi – Polis
Tembakan di KLIA: Polis ambil 11 keterangan saksi – KP Selangor
[…] Kes tembak KLIA: Rakyat tak perlu bimbang, kawalan pintu sempadan dipertingkatkan […]