PARIT BUNTAR – Pembangunan ladang solar berskala besar oleh syarikat swasta, Asiabina Solar mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam usaha merancakkan lagi pembangunan teknologi hijau di Daerah Kerian.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ladang solar berkapasiti 50 Megawatt (MW) itu mampu menjana tenaga hijau kepada 25,000 isi rumah.
Katanya, ia secara tidak langsung mampu mengurangkan 100,000 tan pelepasan karbon dioksida serta membantu menjimatkan penggunaan elektrik setiap tahun.
Saarani berkata, pembinaan projek solar berskala besar itu juga seiring dengan Agenda Teknologi Hijau (Solar dan Hidro) yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Perasmian ladang solar ini merupakan detik penting dalam menyokong penggunaan tenaga bersih dan lestari di Perak.
“Ia merupakan langkah awal menjadikan Kerian sebagai hab pembangunan teknologi tinggi dan hijau sebagaimana Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt (MW) dan Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyuddin; Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri , Loh Sze Yee, serta Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Selain itu Saarani berkata, ladang solar yang dibina dengan kos RM 250 juta itu telah beroperasi sejak Januari lalu.
Pada perkembangan berasingan, Saarani berkata, seramai 30 penduduk setinggan di rizab Sungai Kerian menerima Surat Tawaran PPPS masing-masing.
Kata beliau, melalui usaha itu, kerajaan negeri memberikan skim pinjaman pembinaan rumah tanpa faedah kepada golongan berpendapatan rendah yang tidak layak mendapat pinjaman bank, serta tidak memiliki tanah sendiri.
Ujar Saarani, Perak telah memperuntukan sebanyak RM4.5 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) melalui Yayasan Perak bagi menjalankan program Rumah Perakku Prihatin itu.
Menurut beliau, kesemua penerima akan ditempatkan di pangsapuri yang dibina dengan kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) dan Bumi Johan Sdn Bhd.
“PPPS merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk melengkapkan ekosistem perumahan iaitu Ketersediaan, Mampu Dimiliki dan Kemudahan Pembiayaan.
“Ia seiring agenda Perumahan Sejahtera di bawah Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030.
“Tiada had umur peminjam dan keperluan penjamin selama tempoh bayaran balik sepanjang 25 tahun,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: