LENGGONG – Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan sebagai tanda kepada penyatuan rakyat daripada pelbagai kaum yang turut meraikan bulan Syawal dengan semangat kebersamaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tradisi rumah terbuka dan amalan ziarah-menziarahi sekali gus menyerlahkan semangat toleransi yang menjadi tunjang kekuatan rakyat Malaysia.
“Kekuatan itulah, yang sekian lama menjadi benteng dalam kita mempertahankan keamanan dan keharmonian negara.
“Ia dipupuk berkat ikatan ukhwah dan perpaduan rakyat termasuklah di bumi Perak yang sentiasa tegar bergandingan, menyuburkan semangat kekitaan dan menepis budaya perpecahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, dekat sini pada Sabtu.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenaan berangkat pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung itu.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Dalam pada itu, Saarani berharap agar rakyat sentiasa memperteguhkan sifat saling hormat menghormati, mengasihi serta lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Saarani juga mengingatkan untuk segala amalan yang menjadi rutin pada Ramadan lalu tidak terpadam selepas ini.
“Janganlah dibiarkan masjid kembali sunyi hingga solat berjemaah kembali sepi. Usah dibiarkan kitab al-Quran hanya tinggal tersusun rapi.
“Dan jangan pula membiarkan fakir miskin dan anak-anak yatim yang telah disantuni, tidak lagi dipeduli,” ujar beliau lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri MB Perak