Nahas helikpoter: Khutbah khas kenang 10 perwira negara

LUMUT -Tragedi nahas dua buah helikopter yang terhempas ketika menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 pada Selasa, disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada TLDM dan negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas dua buah helikopter TLDM iaitu Helikopter Operasi Maritim AW 139 dan Fennec di Pangkalan TLDM Lumut itu, turut meninggalkan kesan mendalam kepada semua pihak.

“Wahai wira dan wirawati negara yang kami sayangi, sedarlah bahawa kamu telah menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi dan tanah air yang tercinta ini.

“Pengorbanan yang telah kamu berikan pastinya tidak dapat kami balas dengan air mata, hanya doa sahaja yang mampu kami titipkan agar rohmu sentiasa dirahmati Allah S.W.T,” katanya.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob ketika menyampaikan Khutbah Khas pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil sempena Sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90, di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 APRIL 2024.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Khutbah Khas bertajuk ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’ pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena Sambutan Hari TLDM ke-90, di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM di sini, pada Jumaat.

Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kepten Yang Di Pertua TLDM diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir, Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; mantan Panglima Tentera Laut Ke-16, Tan Sri Dr. Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin serta barisan kepimpinan tertinggi TLDM.

Menurut Abdul Rahman, segala kenangan tercipta bersama wira dan wirawati yang terkorban dalam nahas berkenaan sebagai ahli keluarga ‘The Navy People’ itu akan terpahat dalam sanubari warga TLDM.

Pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaminkan doa pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena Sambutan Hari TLDM ke-90, di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 APRIL 2024.

“Pemergian kamu adalah satu pemergian yang dicemburui. Beraninya jiwamu kerana sanggup berkorban demi kami semua.

“Semoga Allah S.W.T. memberikan keredhaan kepada kami dalam menghadapi perpisahan ini dan takziah diucapkan kepada waris dan ahli keluarga mangsa serta didoakan agar mereka diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Menurutnya, masyarakat dapat menikmati suasana aman dan damai tanpa sebarang ganggu gugat musuh khususnya di perairan maritim negara hasil jasa yang telah, sedang dan akan terus dipikul oleh TLDM bagi menjamin kedaulatan perairan dan kepentingan negara.

“Meniti 27 April 2024 ini, genaplah usia 90 tahun TLDM. Sekian lama menyumbang bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi keamanan dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bersalaman dengan pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena Sambutan Hari TLDM ke-90, di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 APRIL 2024.

Abdul Rahman berkata, TLDM berjaya melaksanakan sebanyak 424 siri operasi melibatkan enam operasi berterusan dan tiga operasi berkala dengan memastikan kehadiran aset TLDM di Kawasan Operasi Maritim (KOM) pada sebilang masa.

Jelas beliau, kekuatan tentera adalah berpaksi kepada kekuatan iman dan keikhlasan berjuang kerana Allah SWT serta taat kepada pemimpinnya.

“Pujian harus diberikan kepada setiap warga the Navy People yang telah berkorban masa, keringat dan tenaga untuk memenuhi keperluan operasi ini. Mereka tidak pernah mengeluh walaupun dihempas gelombang di lautan,” katanya.

Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam tragedi yang membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru helikopter Fennec TLDM. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Sultan Selangor berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin Tahlil dan Khutbah Khas HUT TLDM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI