KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menzahirkan penghargaan kepada semua warga pekerja negara sempena sambutan Hari Pekerja hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua bertitah warga pekerja adalah pemacu pertumbuhan Malaysia ke tahap yang lebih baik.
“Terima kasih di atas usaha, komitmen dan pengorbanan anda. Tanpa penat lelah setiap lapisan para pekerja, kemajuan takkan tercapai.
“Selamat Hari Pekerja!” titah Seri Paduka Baginda berdua menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun bagi meraikan sumbangan pekerja kepada negara dengan tema sambutan tahun ini ialah ‘Pekerja Kesuma Bangsa’. -BERNAMA