Perak tambah penguat kuasa pantau pencerobohan hutan

KAMPAR – Kerajaan Negeri Perak merancang untuk menambah jumlah penguat kuasa bagi menjalankan aktiviti pemantauan di kawasan hutan simpan negeri bagi mengelakkan pencerobohan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia ekoran kawasan berkenaan tidak berpagar sehingga ada individu yang berani mencerobohnya.

Menurut beliau, terdapat juga pihak yang mengambil kesempatan memasuki kawasan hutan simpan pada waktu malam dengan bantuan penduduk orang asli bagi mengelak dikesan.

“Kawasan (hutan simpan) ini tidak berpagar. Ada orang masuk malam dan ada juga yang menyalahgunakan hubungan baik dengan orang asli masuk ke situ.

“Apabila mereka sudah masuk, kita tak dapat nak kesan kecuali kita ada penguat kuasa yang mencukupi untuk memantau,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada pelancaran Program Pemuliharaan Biodiversiti (Afforestation) AEON Credit di Taman Alam Kinta, Kampar. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 MAY 2024.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Program Pemuliharaan Biodiversiti (Afforestation) AEON Credit di Taman Alam Kinta di sini, pada Sabtu.

Tambah Saarani, rancangan menambah jumlah penguat kuasa di hutan simpan negeri itu berdasarkan beberapa siri pencerobohan yang berlaku di kawasan hutan simpan termasuk bagi aktiviti memancing dan rekreasi.

“Jadi berdasarkan keperluan itu, kita akan menambah bilangan penguat kuasa,” katanya.

MG Perak sebelum ini melaporkan lapan rakan masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Hutan Simpan Banding tanpa permit pada Mac lepas.

Penahanan terhadap mereka dibuat Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) selepas beberapa siri video tular dalam laman sosial mengenai dakwaan kegiatan pengeboman ikan yang dipercayai berlaku di dalam hutan simpan itu susulan penemuan pelbagai spesies dan saiz ikan terapung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (enam,kiri) bergambar selepas melancarkan Program Pemuliharaan Biodiversiti (Afforestation) AEON Credit di Taman Alam Kinta, Kampar. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 MAY 2024.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Taman Negeri akan melihat potensi lokasi baharu bagi menambah bilangan taman negeri.

Ujar beliau, taman semula jadi utama Perak adalah Taman Negeri Royal Belum yang terletak di Gerik, kedua pula Taman Negeri Pulau Sembilan yang terletak di Bagan Datuk dan ketiga Taman Negeri Alam Kinta, Kampar.

“Jika ada keperluan (tambah taman negeri) kita memang berusaha untuk menjaga alam sekitar.

“Jadi mana-mana kawasan yang bagi pendapat kita ada keperluan untuk dijadikan kawasan pemuliharaan, penghijauan untuk menguruskan kelestarian alam ini, kita akan lakukan yang terbaik,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lapan sahabat mengaku bersalah ceroboh Hutan Simpan Banding

MGPerak: Keluasan Hutan Simpan Kekal Perak Ditambah Kepada 988,700 Hektar

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI