Lapan sahabat mengaku bersalah ceroboh Hutan Simpan Banding

KUALA KANGSAR – Lapan sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Banding Mac lalu.

Mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Shukri Abd Latif, 46; Jamil Chew Abdullah, 55; Che Mohd Rabillah Che Hassan, 36; dan Mohd Fadzli Abd Latif, 44, didakwa memasuki hutan simpanan kekal tersebut tanpa permit yang sah di Kompartment 359 Hutan Simpan Banding dalam daerah Hulu Perak antara 7 dan 8 Mac lalu.

Turut didakwa Fahmi Adiran Azmi, 35; Muhammad Rezwan Harun, 41; Mohd Anuar Md Jusoh, 50; dan Azrul Hafizi Abdullah, 41, atas kesalahan sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 47 (1)(c) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 47 (4) Enakmen yang sama.

Oleh itu, mereka boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pengarah Pendakwaan Perak, Wan Azimah Yaacob dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Phulrani Kaur manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser.

Mahkamah kemudiannya menetapkan denda RM7,000 setiap seorang dan jika gagal bayar boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.

Kesemua tertuduh membayar tersebut.

Terdahulu, Wan Azimah memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Beliau turut memohon mahkamah untuk mengambil kira kepentingan awam kerana ia melebihi kepentingan individu.

Sementara itu, Ahmad Adha pula menjelaskan ketika kejadian kesemua anak guamnya berada di tempat yang salah pada masa yang salah.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman paling ringan ke atas anak guamnya memandangkan kesalahan yang dilakukan mereka adalah yang pertama.

Sebelum ini, tular rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan seperti kelah, tengas dan lampam yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak pandang serius kejadian bom ikan di Temengor

Polis kenal pasti lokasi video tular disyaki berlaku aktiviti bom ikan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI