150 mangsa banjir di Perak dipindahkan di enam PPS

IPOH – Sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 8 pagi ini bagi menempatkan 150 mangsa banjir di tiga daerah di Perak selepas hujan lebat sejak petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, dalam satu kenyataan berkata, tiga daerah terlibat adalah Kuala Kangsar, Hilir Perak dan Larut Matang dan Selama (LMS).

Menurutnya kesemua mangsa yang terdiri daripada 52 buah keluarga telah dipindahkan ke enam PPS yang dibuka antara jam 10.30 malam tadi sehingga jam 5 pagi tadi di dewan orang ramai, masjid dan juga sekolah kebangsaan di daerah terlibat.

150 mangsa banjir di Perak dipindahkan di enam PPS
Proses pemindahan mangsa banjir di Daerah Kuala Kangsar malam tadi. Foto, IHSAN SEKRETARIAT JPBN PERAK.

“Seramai 42 mangsa banjir daripada 10 keluarga dari Kampung Batu 9, Jalan Changkat Jong di daerah Hilir Perak ditempatkan di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan.

“Manakala 30 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Periang di derah Kuala Kangsar pula ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Periang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya lagi, bagi daerah LMS pula sebanyak empat PPS dibuka melibatkan Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong yang menempatkan 36 mangsa banjir daripada 12 keluarga dan Dewan Orang Ramai Jebong Kiri seramai lapan mangsa daripada sebuah keluarga.

150 mangsa banjir di Perak dipindahkan di enam PPS
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Daerah Hilir Perak memindahkan mangsa banjir di Kampung Batu 9, Changkat Jong, Teluk Intan, malam tadi. Foto, IHSAN JBPM PERAK.

“Kita juga turut membuka PPS di Masjid Alwusta Batu 8 yang menempatkan sembilan mangsa daripada lima keluarga dan SK Temerlok yang menempatkan 25 mangsa daripada 12 keluarga.

“Kesemua mangsa banjir yang dipindahkan di LMS merupakan penduduk dari Kampung Sungai Baru, Kampung Dato Sagor, Kampung Senduk Seberang, Kampung Batu 8, Kampung Temerlok dan Kampung Nibong,” katanya.

Sementara itu katanya, berdasarkan kepada data aras air sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Kerian di daerah LMS Perak merekodkan paras waspada iaitu 12.07 meter (m) berbanding paras normal 10m.

Tambahnya, paras Sungai Perak di daerah Kuala Kangsar juga merekodkan paras waspada setinggi 35.62 meter berbanding paras normal 32 meter setakat jam 8 pagi ini. -MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI