Khutbah Jumaat ingatkan belia pupuk sifat tolak rasuah

IPOH – Belia perlu memupuk prinsip tidak bertoleransi terhadap sebarang perlakuan rasuah dengan menolak pemimpin yang tercemar dengan gejala itu serta tidak sesekali bersubahat dengan perasuah sebagai salah satu tanggungjawab mereka kepada negara.

Perkara itu disampaikan menerusi teks Khutbah Jumaat khas bertajuk Belia: Tenaga Penggerak Pembawa Pembaharuan bersempena Sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei.

Teks khutbah tersebut turut menekankan supaya belia berpegang teguh kepada Rukun Iman, percaya dan yakin akan hari pembalasan supaya tersemai iman yang teguh untuk membantu membina kekuatan jati diri.

“(Golongan belia) perlu mempamerkan sifat-sifat insan bertakwa dengan mengamalkan akhlak mahmudah (terpuji) dan menjauhi sifat mazmumah (buruk), melakukan yang makruf dan menjauhi yang mungkar.

“Bersifat jujur, berintegriti dan amanah; berani, lantang serta tegas menolak rasuah, tidak bersubahat dengan para perasuah dan menolak pemimpin yang tercemar dengan rasuah; serta dipupuk sikap kesungguhan dalam setiap tindakan sebagai persiapan menjadi pemimpin masa hadapan.

“Menjadi warga yang memiliki semangat kesetiaan yang kukuh kepada raja dan negara, bersedia berkorban dan berkhidmat untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara,” ujar teks khutbah yang dibacakan di seluruh masjid dan surau diri Jumaat di Perak pada hari ini.

Dalam pada itu, teks khutbah tersebut turut memaklumkan seramai 9.6 juta orang belia di negara ini yang merangkumi 29 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia bakal mewarisi kepimpinan negara.

“Kemajuan dan kemakmuran negara pada masa hadapan akan dipengaruhi dan bakal ditentukan oleh para belia hari ini, setelah mereka mengambil alih tanggungjawab kepimpinan negara dalam pelbagai bidang merangkumi pemerintahan, pertahanan, keselamatan, hubungan antarabangsa, pendidikan, perdagangan, perniagaan, kemasyarakatan dan pelbagai bidang lagi.

“Oleh itu, amatlah penting untuk mereka dididik, dibimbing, diasuh, dan dilengkapi dengan pegangan dan kepercayaan kepada tuhan yang teguh, agar mereka memiliki aqidah, iman dan takwa yang kukuh untuk dijadikan asas ketika membina daya fikir, mencanai minda, membentuk watak dan membajai roh.

“Semoga terbina jati diri yang kental, setia lagi patriotik kepada negara bangsanya, tersemai dalam sanubari mereka sifat-sifat amanah, jujur, telus, berterus terang dan bertanggungjawab, serta mempamerkan akal budi serta watak yang tertib, sopan dan bersusila,” jelasnya.

Teks khutbah itu turut menjelaskan bahawa negara dan kepimpinan yang berwawasan jauh, sewajarnya memberikan bimbingan, teladan juga panduan, menyediakan belia untuk masa hadapan negara.

“Mentadbir urus negara dan kerajaan secara bersih, cekap dan amanah melalui budaya kerja pemimpin, pengurus dan pentadbir yang telus dan sifar rasuah, agar ekonomi negara berkembang sihat, mata wang negara kukuh, pelabur berkeyakinan, peluang pekerjaan semakin bertambah.

“Selain itu, (kerajaan) perlu menyediakan kemudahan pendidikan dan latihan berkualiti yang berupaya mengangkat status belia Malaysia berdiri sama tinggi di pentas antarabangsa,” katanya.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan kepada 70 golongan untuk membaca khutbah Jumaat di beberapa masjid di negeri ini bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei lalu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, ia sebagai langkah dalam menghargai dan mengiktiraf peranan penting golongan itu dalam negara.

Menurutnya, baginda turut menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri Perak pada 17 Mei adalah bertemakan ‘Belia: Tenaga Penggerak Pembawa Pembaharuan’.

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak berkenan pemimpin belia baca khutbah Jumaat esok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI