Mufti Perak akan beri penjelasan berkaitan khutbah Jumaat isu boikot

IPOH – Orang ramai diminta bertenang serta menunggu penjelasan penuh daripada Jabatan Mufti Perak berhubung teks khutbah Jumaat berkaitan isu boikot yang disampaikan di masjid dan surau diri Jumaat (SDJ) seluruh negeri ini semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jabatan tersebut bertanggungjawab menyediakan teks khutbah itu serta membuat ketetapan supaya semua khatib perlu membaca khutbah yang telah mendapat persetujuan dan ditandatangani oleh mufti.

Menurutnya, menerusi pertemuan dipengerusikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini bersama Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan pengerusi-pengerusi masjid itu, beliau diberi penjelasan berhubung teks tersebut.

“Mufti akan memberi penjelasan sebab tempoh dua puluh 20 minit tentang latar belakang dan juga maksud sebenar dalam teks tersebut.

“Saya tidak mahu mengulas apa-apa melainkan nak beritahu bahawa teks khutbah berkenaan adalah teks yang disediakan oleh Jabatan Mufti yang telah pun mendapat persetujuan dan tandatangan daripada mufti,” katanya.

Saarani berkata demikian bagi mengulas isu mengenai teks khutbah bertajuk ‘Menghayati Keadilan Sejagat Dalam Kehidupan Bernegara’ yang turut dibangkitkan pada Majlis Perundingan Masjid (MPM) Negeri Perak yang dihadirinya hari ini.

Dalam pada itu, Saarani menasihatkan orang ramai supaya tidak mengamuk dan menghasut kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

“Jadi kita (perlu) bertenang dan mendapatkan penjelasan Jabatan Mufti. Kita hendaklah ingat bahawa kita perlu untuk sama-sama menjaga sensitiviti antara satu sama lain. Itu adalah Islam,”ujarnya.

Semalam media melaporkan, teks rasmi khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu didakwa menyeru umat Islam menghentikan amalan boikot atau memulaukan perniagaan tertentu.

Khutbah tersebut dipercayai menyatakan bahawa tindakan boikot harus dihentikan dengan hujah bahawa perbuatan tersebut berlawanan dengan keadilan Islam.

Terdahulu, beliau merasmikan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Hari Jelajah Usahawan, Agro dan Koperasi Negeri Perak 2024 di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu yang melibatkan 100 usahawan SDSI dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Boikot berasaskan emosi beri kesan buruk pada ekonomi negara – Khutbah Jumaat Perak

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI