TELUK INTAN – Seorang penganggur dipenjara setahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas kesalahan melakukan khianat dengan menetak motosikal milik jirannya, pada Jumaat.
Tertuduh Ridzwan Hassan, 42, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret T Ashvinii selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan Ridzwan didakwa melakukan perbuatan khianat dengan merosakan motosikal jenis Honda EX5 milik pengadu menggunakan sebilah parang di Jalan Mustafa Al-Bakri di Teluk Intan jam 9.30 pagi pada 2 Jun lalu.
Akibat perbuatannya itu, pengadu mengalami kerugian berjumlah RM350 dan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan kemudiannya mencadangkan agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh.
Ridzwan yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) kemudiannnya memohon dipenjarakan dengan hukuman minimum kerana tidak mempunyai wang bagi membayar denda.
Ashvinii kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara selama setahun bermula dari tarikh dia ditangkap.
Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Ridzwan turut mengaku bersalah di atas pertuduhan menggunakan dadah jenis morfin.
Mengikut pertuduhan, Ridzwan didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak jam 11.45 pagi pada 4 Jun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta yang sama.
Jika disabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta pengawasan polis maksimum tiga tahun.
Ashvinii kemudiannya mengarahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Ogos depan sebagai sebutan semula kes sementra menunggu laporan kimia. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kelindan lori mengaku tak bersalah tikam adik tiri guna pisau pemotong sayur