NR-REE: Perak tumpu pembangunan industri hasilkan produk akhir

LUMUT – Kerajaan Negeri Perak sedang berkerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan industri berkaitan bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama tersebut menumpukan kepada usaha mengekstrak mineral itu untuk diproses sehingga dijadikan produk akhir yang dijangka memberi pulangan lumayan kepada negeri.

“Unjurannya lebih banyak kawasan yang boleh diekstrak (NR-REE) dan berdasarkan maklumat daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), ia dijangka melibatkan unjuran nilai sebanyak RM40 bilion.

“Walau bagaimanapun, saya yakin unjuran nilai (daripada NR-REE yang ada di Perak) lebih daripada jangkaan itu.

“Namun, (unjuran nilai mineral berkenaan) melibatkan mineral yang belum diproses. Jika kita dapat mewujudkan kilang-kilang untuk memprosesnya menjadi produk akhir, saya yakin nilainya akan berlipat kali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, dekat sini, pada Isnin.

Perak meneroka perlombongan bahan mineral bernilai tinggi di pasaran dunia melalui Projek Rintis Perlombongan NR-REE di atas tanah seluas 87.41 hektar di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.

Sehingga Mei 2023, lebih 7,000 tan metrik Rare Earth Carbonate (REC) dieksport ke China dengan berjaya menjana royalti hampir RM29.73 juta kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Saarani berkata, keuntungan hasil daripada pembangunan NR-REE itu memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri khususnya kepada usaha mensejahterakan rakyat.

Ujar beliau, justeru kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan turut meliputi kepada inisiatif pembangunan terhadap sumber manusia, pendidikan dan belia.

“Selain daripada program-program yang diberi oleh kementerian, kita berhasrat untuk membantu sekolah bagi membangunkan sumber manusia dalam kelas.

“Mungkin ia dalam bentuk seperti program tuisyen dan sebagainya. Asalkan ia memberi sumbangan kepada bentuk pembangunan belia.

“Itu adalah pulangan balik kerajaan negeri daripada kekayaan kepada pembangunan sumber manusia,” jelas Saarani. – MG PERAK

Artikel Berkaitan:

Empat kementerian bincang model perniagaan NR-REE

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI