IPOH – Kerajaan negeri Perak telah melantik 25 orang bagi membantu melicinkan persiapan kontinjen Perak yang akan menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 Sarawak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mereka yang dilantik terdiri daripada Exco Kerajaan Negeri (sembilan), wakil jabatan dan agensi negeri (lima) dan Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negeri (MSN) (11).
Menurutnya, kesemua yang dilantik berperanan membantu bahagian pengurusan sukan serta Sekretariat SUKMA bagi menambah baik operasi dan menguruskan organisasi sukan dengan cekap dan berkesan.
“Rasional pelantikan ini juga adalah bagi tujuan pemantauan terhadap kontinjen Perak sebelum dan semasa SUKMA berlangsung.
“Majlis hari ini turut menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kerajaan negeri di atas jasa dan pengorbanan atlet-atlet, penggiat-penggiat sukan dan persatuan-persatuan sukan Perak di atas perkhidmatan serta kepimpinan mereka ke arah kemajuan sukan dalam persediaan menyertai temasya SUKMA kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikan Pelantikan Exco, Jabatan, Agensi Angkat Sempena Temasya Sukma XXI (ke-21) 2024 Sarawak di perkarangan Pejabat Menteri Besar Perak pada Rabu.
Sebelum ini, MG Perak melaporkan Perak menyasarkan sekurang-kurangnya 35 pingat emas pada temasya sukan itu yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, bagaimanapun perkara itu masih belum dimuktamadkan MSN Perak.
Namun katanya, beliau optimis skuad Perak mampu memperbaiki kedudukan sekurang-kurangnya pada tangga lima terbaik berbanding kedudukan kelapan pada edisi sebelum ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SUKMA Sarawak: Perak mahu di kedudukan lima terbaik, sasar 35 emas
Kemelut berakhir, Perak FC setuju hantar pasukan bola sepak ke SUKMA – Exco