KAMPAR – Hampir 300 penduduk Kampung Changkat Tin dan sekitar, dekat sini, mengadakan perhimpunan dan perarakan bagi menyuarakan solidariti terhadap penduduk Palestin yang sedang diasak dengan serangan bertubi-tubi oleh pihak Israel.
Acara ‘Himpunan Aman Palestin’ itu bermula pada jam 8 pagi dengan kesemua peserta berarak sejauh kira-kira 500 meter dari Dataran Rakyat Kampung Changkat Tin hingga ke Masjid Al-Falahiah sebelum berpatah balik ke dataran.
Selain ada yang mengenakan busana tradisional Melayu, para peserta turut berselawat dan berarak dengan membawa bendera Palestin serta plakat yang memaparkan perkataan seperti ‘Selamatkan Gaza’, ‘Doa untuk Palestin’ dan sebagainya.
Penganjur yang juga Ketua Kampung Changkat Tin, Zainal Abidin Selamat berkata himpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap umat Islam yang berada di Tebing Barat dan Gaza di samping melahirkan rasa benci terhadap kekejaman yang dilakukan pihak Rejim Israel.
Katanya para peserta terdiri daripada penduduk kampung, pertubuhan silat, rumah ngaji, kumpulan bermotosikal, serta golongan kanak-kanak.
“Kita libatkan kanak-kanak supaya mereka tahu perjuangan umat Islam menentang Israel yang zalim.
“Juga kita mahu supaya timbul kesedaran mereka untuk bersimpati terhadap rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak sebaya mereka yang menjadi mangsa kekejaman pihak Zionis,” katanya ketika ditemui.
Hadir sama, Pengurus Aman Palestin Negeri Perak, Muhassan Abdul Halim, imam dan pemimpin masyarakat.
Di samping itu, acara berkenaan turut diselitkan dengan sesi ceramah ringkas dan ucapan wakil-wakil pertubuhan yang mengutuk kezaliman tentera Israel terhadap rakyat Palestin yang saban hari dianiaya.
Pada masa sama, para peserta turut menghulurkan sumbangan peribadi masing-masing kepada Tabung Aman Palestin di samping membeli produk-produk yang dijual bagi tujuan sumbangan amal kepada rakyat di sana – MG Perak
[…] Solidariti Palestin: 300 penduduk kampung berhimpun, berarak […]