Solidariti Palestin: Semua masjid diminta adakan solat hajat esok – MB

IPOH – Semua masjid dan surau diri Jumaat di Negeri Perak diminta  mengadakan solat hajat selepas selesai solat Jumaat esok bagi mendoakan kesejahteraan rakyat di Palestin yang sedang berdepan konflik perang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau akan meminta Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) mengeluarkan syor berkenaan hal itu kepada semua pengerusi masjid dan surau diri Jumaat.

“Kita akan maklumkan supaya semua masjid di seluruh negeri untuk mengadakan solat hajat bagi kesejahteraan rakyat Palestin.

“Kita akan meminta supaya semua pengerusi masjid dan surau diri Jumaat untuk mengadakannya esok selepas solat Jumaat,” katanya kepada pemberita pada sidang media bersempena dengan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia, dekat sini, pada Khamis.

Dalam pada itu menurutnya, beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) telah menandatangani cek bernilai RM100,000 bagi disumbangkan kepada mangsa-mangsa perang di Palestin.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak khususnya Palestin.

Dalam perkembangan berasingan Menteri Besar berkata sehingga lapan siri penganjuran Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan itu, kerajaan negeri telah menerima 1,121 aduan yang mana 90 peratus atau 1,013 aduan telah diselesaikan, sementara bakinya masih dalam tindakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendengar aduan orang ramai pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

Saarani berkata, pada program sama beliau turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Usahawan Perak (GeRAK) dan Geran Pembangunan dan Peningkatan Rekabentuk Pembungkusan Produk Usahawan Perak 2023.

“GeRAK merupakan bantuan geran percuma berbentuk peralatan dan bukan peralataan bagi membantu usahawan terlibat meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran usahawan dengan mensasarkan 900 orang penerima dari seluruh negeri.

“Geran Pembangunan Dan Peningkatan Rekabentuk Pembungkusan Produk Usahawan Perak 2023 merupakan geran peningkatan dan menambah baik pembungkusan produk usahawan terpilih. Inisiatif ini juga akan membantu usahawan memasarkan produk mereka dengan lebih efisien,” ujarnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan geran pembangunan dan peningkatan rekabentuk pembungkusan produk usahawan Perak 2023 pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

Di samping itu, katanya beliau turut melancarkan Bulan Inovasi Peringkat Negeri yang disertai 24 peserta dari sekolah rendah dan menengah yang mempamerkan pelbagai projek inovasi yang dihasilkan mereka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat ruang pameran pelajar sekolah pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

Saarani berkata pelancaran itu merupakan simbolik kepada Sambutan Inovasi Peringkat Perak yang dijadualkan akan berlangsung pada 1 November depan. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI