BAGAN SERAI – Seorang lelaki maut selepas terpelanting dan tertusuk galah sawit dalam kejadian yang berlaku di Parit Sulaiman, Kampung Matang Gerdu di sini, petang semalam.
Mangsa, Ismail Mat Saari, 44, disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian akibat tertusuk galah sawit di bahagian belakang badan selepas motosikal ditungganginya terbabas sendiri.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Juna Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 6.58 petang.
“Siasatan awal mendapati semasa mangsa menunggang motosikal yang membawa gerabak untuk mengangkut buah sawit hilang kawalan sehingga menyebabkan galah sawit yang dibawa bersama mangsa terpelanting dan tertusuk di bahagian belakang mangsa.
“Mangsa kemudian ditemui oleh dua orang awam di tepi parit dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, ambulans kemudiannya tiba di lokasi kejadian dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘fatal penetrating abdominal injury,’ jelasnya.
Juna berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta untuk tampil membantu siasataan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Inspektor Muhammad Fazri Abdul Aziz di talian 05-721 2222/013-711 1923,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: