TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menerima kunjungan 100 delegasi dari Universitas Mataram (UNRAM) Indonesia, melalui program Jalinan Pendidikan Serumpun, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan UPSI memaklumkan, delegasi berkenaan terdiri daripada pelajar pascasiswazah dan pengurusan diketuai oleh Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Drs H Lalu Zulkifli.
Program yang diselaraskan pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Dr Salam Alfirisi itu diadakan bertujuan memberi peluang kepada dua institusi pendidikan itu untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang.
Ujarnya, kesemua delegasi turut dibawa meninjau perjalanan aktiviti murid di sekolah swasta yang ditubuhkan UPSI, Sekolah Rendah Seri Budiman.
Guru Besar Sekolah Rendah Seri Budiman, Dr Kama Shaffeei ketika menyampaikan taklimat turut berkongsi berkenaan sistem pendidikan di Malaysia serta pengalaman UPSI dalam membantu negara memajukan sistem pendidikan.
“Kami berharap program ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang pendidikan. Malah kami yakin kerjasama yang lebih erat dan bermanfaat akan semakin terbuka pada masa hadapan.
“Di samping mengukuhkan jalinan persahabatan antara pelajar dan pendidik dari kedua-dua negara, ia juga membolehkan kita berkongsi amalan terbaik dalam hal pendidikan yang dapat memberi inspirasi untuk penambahbaikan sistem pendidikan di negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Sementara itu kenyataan itu turut memaklumkan, Lalu Zulkifli berpandangan kunjungan itu membuahkan kejayaan dalam konteks membina hubungan kerjasama bagi mengukuhkan sistem pendidikan.
Ujar kenyataan itu, malah beliau turut mendapat idea untuk membina sekolah di UNRAM sama seperti Sekolah Rendah Seri Budiman
“UPSI adalah sebuah universiti pendidikan tersohor yang mempunyai ramai pakar dan UNRAM akan berusaha mengukuhkan kerjasama demi memantapkan sistem pendidikan,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mahasiswa Program Siswa Sulung 2.0 UPSI perlu tingkat ketrampilan hadapi cabaran global