IPOH – Seorang buruh kasar dikenakan hukuman penjara 21 tahun dua bulan dan 14 sebatan selepas mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini atas 13 pertuduhan menipu bantuan e-Kasih.
Tertuduh, Muhammad Halmi Ismail, 49, dikenakan hukuman tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif dan Majistret S Punitha.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman terhadap tertuduh berjalan secara serentak selama empat tahun dan 14 sebatan mulai tarikh sabitan hari ini.
Tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan menawarkan bantuan e-Kasih yang tidak wujud membabitkan 13 pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Di hadapan Siti Nora, tertuduh didakwa dengan curang telah menipu empat lelaki berusia antara 65 hingga 76 tahun dengan curang mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah keseluruhan RM2,150 untuk dapatkan tawaran bantuan e-Kasih yang tidak wujud yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang terbabit sekiranya tidak diperdayakan.
Muhammad Halmi dituduh melakukan kesalahan itu di tiga bank berbeza di lpoh pada waktu berbeza, antara 23 Januari hingga 22 April tahun ini.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin dan Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, manakala tertuduh diwakili peguam, Robert S Gnanarajan.
Dalam prosiding berasingan, dia didakwa telah melakukan kesalahan sama melibatkan tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 60 hingga 77 tahun menyerahkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM4,230 di hadapan Punitha.
Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sembilan lokasi berbeza sekitar lpoh pada waktu berbeza, antara 1 Januari hingga 23 Jun tahun ini.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah dan M Kathan.
Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan tertuduh menyamar sebagai pegawai bantuan e-Kasih dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai dalam lingkungan RM300 hingga RM1,000 kononnya bagi proses permohonan bantuan e-Kasih dan pembukaan akaun bank.
Bagaimanapun, selepas memperolehi wang tunai daripada mangsa, suspek akan berpura-pura membuat salinan fotostat terhadap kad pengenalan mangsa.
Polis turut memaklumkan pihaknya memperoleh 36 pertuduhan ke atas tetuduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417 kanun sama.
Selain Mahkamah Majistret Ipoh, tertuduh turut akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Taiping, Manjung dan Hilir Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan: