KPDN Perak rampas lebih 600 jersi tiruan

TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah premis di kompleks membeli belah, Jalan Istana Larut, dekat sini kerana disyaki menjual pakaian jersi berjenama terkenal tiruan, pada Khamis.

Serbuan sepasukan anggota KPDN Cawangan Taiping pada jam 11 pagi bersama wakil pemilik cap dagangan itu dibuat hasil risikan selama dua minggu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, ketika serbuan dilakukan pihaknya menemukan 673 unit pakaian jersi berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang tidak sah.

Katanya, kesemua pakaian berkenaaan, bersama dokumen perniagaan dan invois berkaitan telah disita bagi siasatan lanjut.

“Seorang penyelia premis warga tempatan berusia 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 15,389.

“Maklumat awal mendapati bekalan pakaian jersi tiruan ini diperolehi daripada kawasan utara semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

KPDN Perak premis menjual pakaian jersi berjenama terkenal tiruan cap dagang Kamalludin
Anggota KPDN Perak pakaian jersi yang disyaki tiruan atau menggunakan cap dagang tidak sah di sebuah premis di kompleks membeli belah, Jalan Istana Larut, Taiping. Foto IHSAN KPDN PERAK

Tambah Kamalludin, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 iaitu di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan atau kawalan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, bagi kesalahan ke atas pertubuhan perbadanan pula, boleh dikenakan denda RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah.

“KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana orang yang menjalankan urusniaga atau apa-apa aktiviti yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah yang melanggar Akta Cap Dagangan 2019,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak sita 63 tong LPG berjumlah lebih RM5,000

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI