KUALA KANGSAR – Majlis Apresiasi Makanan Warisan Negeri Perak yang julung kali dianjurkan restoran Teratak Warisan Kampung dengan kerjasama Tourism Perak hari ini menjadi usaha memperkenalkan makanan warisan Melayu kepada masyarakat setempat khususnya generasi muda.
Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie berkata, menerusi program tersebut orang ramai dapat menikmati makanan warisan negeri Perak serta mengenali dengan lebih dekat jenis-jenis masakan yang dihasilkan oleh nenek moyang pada zaman dahulu.
Menurutnya, selain Tourism Perak, beberapa agensi lain turut bersama-sama menyokong program tersebut antaranya termasuklah Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Kellie’s Castle dan Kumpulan Tamin.
“Usaha yang dilaksanakan restoran ini adalah usaha yang baik dengan mengajak orang ramai makan secara percuma untuk merasai sendiri makanan zaman orang dulu-dulu yang memang sinonim dengan selera orang tua zaman sekarang.
“Kita lihat orang muda semakin lupa dengan kewujudan makanan warisan, jadi kita beri sokongan dengan mempromosikannya pada hari ini. Itu tujuan utama.
“Bersesuaian dengan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024, selain memperkenalkan makanan warisan, kita juga secara tidak langsung memperkenalkan budaya yang terdapat di dalam negeri Perak.
“Objektif kita adalah untuk mempromosikan makanan warisan Perak supaya masyarakat dapat merasai, kenal budaya, adat resam dan pemakaian di negeri ini,” katanya ketika ditemui MG Perak di program tersebut pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut mengalakkan inisiatif melibatkan individu ataupun mana-mana pihak yang berminat dalam memperkenalkan makanan warisan di daerah masing-masing mempunyai jenis makanan tersendiri.
“Di Perak, kita mempunyai 12 daerah yang mempunyai keunikan tersendiri untuk memperkenalkan makanan warisan masing-masing antaranya seperti kebebe dan gulai batang pisang di Lenggong,” jelasnya.
Sementara itu, pemilik restoran Teratak Warisan Kampung, Saidi Othman Mahiyuddin, 55, berkata, tujuan program tersebut adalah untuk memperkasakan makanan warisan Perak yang dilihat semakin luput ditelan usia.
Dia yang lebih 25 tahun menjalankan perniagaan tersebut berkata, walaupun program yang dianjurkan hanya berskala kecil namun mampu memperkenalkan kepada masyarakat makanan warisan di negeri ini masih wujud dan boleh dinikmati di restorannya.
“Pada hari ini, kami menyediakan beberapa jenis makanan warisan untuk orang ramai merasai sendiri keenakan juadah tersebut iaitu gulai tempoyak ikan patin sungai Perak yang merupakan menu istimewa restoran kami.
“Selain itu, turut disajikan daging umbut pisang yang menggunakan pisang hutan, ikan lampam goreng, gulai lemak Nangka serta ulam-ulaman yang diambil daripada kampung dan bukannya dibeli di pasar harian,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
NCIA biaya RM15 juta bangunkan Projek Pelancongan Warisan Ipoh