TAIPING – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, supaya semua Mahkamah Syariah di Perak dilengkapi dengan kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan.
Menurut baginda, perkara tersebut perlu dilaksanakan supaya institusi kehakiman itu tidak ketinggalan jauh ke belakang berbanding kemudahan peralatan yang dilengkapi di Mahkamah Sivil.
Berikutan itu, baginda menyeru kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan peruntukan dalam Belanjawan 2025 supaya kemudahan tersebut dapat dipasang di Mahkamah Syariah.
“Selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, kualiti penyampaian perkhidmatan Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan. Teknologi digital perlu dimanfaatkan bagi memperluas dan mempermudah akses anggota masyarakat kepada sistem keadilan Syariah.
“Teknologi pendaftaran elektronik secara dalam talian dengan kemudahan pembayaran Internet tanpa tunai perlu dioptimumkan pelaksanaannya di Mahkamah Syariah.
“Kemudahan sistem teknologi perbicaraan seperti sistem kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan (Court Recording and Transcription (CRT) System) yang sudah diguna pakai di Mahkamah Sivil hendaklah turut diguna pakai di Mahkamah Syariah.
“Dengan mengguna pakai peralatan teknologi terkini, norma kerja di Mahkamah Syariah dapat dihijrahkan kepada norma baharu yang lebih cekap dan lebih produktif.
Di samping dapat membantu para hakim dan pegawai mahkamah lebih berfokus, lantas berupaya membuat penghakiman secara lebih cekap,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa perasmian bangunan Mahkamah Syariah Taiping di sini, pada Isnin. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, baginda turut bertitah, kemuliaan mahkamah bergantung pada pelbagai pemegang watak.
Di samping para hakim dan pendakwa, peguam bela, saksi, pegawai yang menyediakan bukti dan bahan siasatan, setiap seorang daripada mereka hendaklah bersikap saling membantu ke arah membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan, serta mengutamakan kes-kes dapat diselesaikan tanpa berlengah.
“Keadilan yang sejati akan dapat diserlahkan jika pelbagai watak yang muncul di mahkamah menghayati semangat dan mengamalkan falsafah kerja yang mengutamakan fakta dan kebenaran berasaskan keinsafan dan kesedaran bahawa ALLAH SWT Maha Mengetahui,” titah baginda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kewangan sosial Islam mekanisme imbang kemiskinan global
[…] Sultan Nazrin titah Mahkamah Syariah di Perak dilengkapi teknologi terkini […]