Nahas jalan raya: Pemandu tercampak dari kenderaan maut

IPOH – Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaanya dalam nahas jalan raya melibatkan dua kereta di kilometer (km) 265.6 arah selatan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.55 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun sedang memandu dari arah utara ke selatan.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, lelaki itu telah hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kiri dan bergesel dengan sebuah kereta lain dipandu lelaki berusia 39 tahun.

“Ketika pelanggaran itu, pemandu berusia 40 tahun itu telah terlanggar tiang papan tanda di kiri jalan sebelum berpusing masuk ke dalam parit di bahu jalan.

“Semasa kereta berpusing, mangsa juga dipercayai telah tercampak keluar dari kereta sebelum tersepit di bawah kenderaanya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Abang Zainal Abidin, susulan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian semenara pemandu berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ujar beliau, mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dijalankan proses bedah siasat.

Tambah beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana menyebabkan kematian ekoran memandu dengan melulu atau membahayakan.

“Masyarakat dinasihatkan supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri serta semua pengguna jalan raya.

“Justeru, Polis meminta saksi yang menyaksikan kemalangan ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lelaki maut dalam nahas jalan raya babitkan pacuan empat roda

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI