PERAK merupakan negeri yang mempunyai pelbagai juadah warisan dan perlu dijaga sama seperti aset warisan lain supaya tidak luput ditelan zaman.
Antara makanan warisan yang cukup terkenal di negeri ini adalah nasi lemuni, gulai kemahang, ikan pindang daun seniar, rendang tok, kebebe, penjan ubi kayu dan bubur anak lebah.
Justeru, pihak yang berkaitan perlu tampil membantu untuk memperkenalkan masakan warisan ini khususnya kepada golongan muda.
Pada masa sama, ia mampu memperlihatkan keunikan dan kepelbagaian menu masakan warisan yang semakin kurang dihasilkan dan mengetengahkan makanan warisan yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.
Pemilik restoran Teratak Warisan Kampung, Kuala Kangsar, Saidi Othman Mahiyuddin berkata, resipi makanan warisan yang majoritinya diwarisi orang-orang lama sepatutnya diturunkan kepada generasi muda.
“Bukan orang muda tidak pandai tetapi apa-apa pun kita mesti tanya orang tua supaya ilmu berkaitan makanan warisan dapat diturunkan kepada mereka.
“Jadi untuk mendapatkan ilmu itu, golongan muda perlu merasa air tangan masakan warisan daripada orang tua. Disebabkan itu saya bawa orang tua terdiri daripada orang kampung supaya mereka dapat menunjukkan masakan warisan di negeri ini.
“Kebanyakan orang muda tidak mengetahui keunikan makan tradisi, jadi program seperti Majlis Apresiasi Makanan Warisan Negeri Perak dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk menikmati sendiri juadah tersebut dan hasilnya Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui MG Perak baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, dia bersyukur dan berasa beruntung kerana tiga anaknya berminat untuk meneruskan legasi perniagaan menjual makanan warisan di Kuala Kangsar.
“Sepatutnya, orang muda ambil ini sebagai pengetahuan sebab makanan ada berkaitan dengan soal kehidpan kita.
“Makanan kampung adalah antara yang terbaik untuk kesihatan, contohnya pindang yang khasiatnya bagus dengan ikan dalam semua cukup lengkap dengan sayur serta ulam-ulaman yang orang cakap makanan awet muda.
“Ingatlah makanan kita, warisan kita dan tiada siapa yang boleh nak mempertikaikan warisan kita salah satu adalah makanan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie berkata, Tourism Perak memainkan peranan dalam mempromosikan sebarang perkara berkaitan kebudayaan, sosial dan warisan yang terdapat di negeri ini untuk diperkenalkan kepada orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.
Katanya, agensi berkenaan akan mempromosi lokasi yang menawarkan makanan warisan yang terdapat di negeri ini.
“Kita akan membantu pemain industri dari segi nasihat serta mengeluarkan peruntukan (jika ada) untuk mereka bagi mempromosikan makanan warisan yang hendak diperkenalkan kepada pelancong.
“Pada masa sama, kita akan mengadakan kursus atau bengkel untuk pemain industri yang terlibat dengan makanan tradisi supaya mereka dapat meningkatkan keupayaan dalam mempromosi sendiri juadah tersebut kepada pelancong.
“Usaha tersebut bukan sahaja dilaksanakan sepanjang Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 tapi akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan makanan warisan di negeri ini terus kekal relevan untuk dinikmati generasi masa hadapan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
WCIT 2024 pentas terbaik bincang isu dunia Islam kontemporari