‘Azeem jangan putus asa’ – MB Perak

IPOH – Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi diharap tidak putus semangat susulan terkandas pada saringan kedua, pusingan pertama acara 100 meter (m) pada Sukan Olimpik Paris 2024, pada Sabtu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menitipkan pesanan agar anak jati Teluk Intan itu tidak berhenti berlari walau apa juga keadaan sekali pun.

Muhammad Azeem Fahmi pelari olimpik sukan paris saarani pelari putus jangan asa
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OGOS 2024.

“Jangan putus asa di separuh jalan, Jangan hilang semangat, jangan hilang arah.

“Sebaliknya, kita mesti berlari sehingga ke garisan penamat, agar kita memperoleh kejayaan itu (pada masa hadapan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak ‘Belang Tarung Tiga Warna’ Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Ahad.

Muhammad Azeem Fahmi pelari olimpik sukan paris saarani pelari putus jangan asa
Barisan atlet negeri Perak pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OGOS 2024.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Terdahulu ketika berucap Saarani berkata, Muhammad Azeem antara atlet yang berjaya beraksi ke pentas Olimpik telah memulakan perjalanan dalam karier sukan di arena SUKMA.

“Dia juga bermula seperti anda (atlet yang akan mewakili Perak ke SUKMA), berlatih di padang yang sama, berlari di trek yang sama.

“Hari ini, dia (Muhammad Azeem) membawa nama Malaysia ke Paris. Esok, mungkin nama anda yang akan mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Muhammad Azeem Fahmi pelari olimpik sukan paris saarani pelari putus jangan asa
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memperkenalkan pakaian rasmi Kontinjen Sukma Negeri Perak 2024 pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OGOS 2024.

Pada Sabtu media melaporkan, impian Muhammad Azeem untuk mara ke separuh akhir acara 100 m di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian.

Atlet berusia 20 tahun itu mengakhiri saingan tersebut di kedudukan terakhir dengan catatan masa 10.45 saat (s) dalam aksi yang berlangsung di Stade de France.

Saringan itu menyaksikan pelari pertama dari Kenya, Ferdinand Omanyala tiba di garisan penamat dengan catatan masa 10.08s diikuti atlet Itali, Chituru Ali di tempat kedua (10.12s) dan Pelari Jerman, Joshua Hartmann (10.16s) dengan hanya tiga pelari teratas layak ke pusingan seterusnya.

Terdahulu, penampilan sulung Muhammad Azeem di pentas Olimpik itu menyaksikan beliau layak ke pusingan pertama selepas berada di kedudukan kedua dengan catatan 10.42s.

Untuk rekod, beliau beraksi dalam acara riben biru di Paris 2024 atas tiket wild card oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

SUKMA: Perak pertaruh 777 atlet, tawar RM5,000 penyumbang emas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI