Dua lelaki maut, kereta dirempuh lori

GOPENG – Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki dirempuh sebuah lori dalam nahas jalan raya di jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Kampung Gunung Panjang, dekat sini, pada Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 9.48 malam.

Katanya, sejurus selepas itu sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng diatur gerak ke lokasi kejadian.

Dua lelaki maut kereta dirempuh lori nahas jalan raya Sabarodzi bomba Gopeng
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng yang diatur gerak sedang mengeluarkan dua mangsa tersepit dari bangkai kenderaan dalam nahas jalan raya berhampiran Sekolah Kebangsaan Kampung Gunung Panjang, Gopeng. Foto IHSAN JBPM PERAK

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati terdapat dua mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Perodua Kancil dipercayai selepas dilanggar sebuah lori dalam nahas jalan raya.

“Anggota yang berada di lokasi kejadian menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan dua mangsa tersepit yang masing-masing berusia 62 dan 58 tahun.

“Kedua-dua mangsa tersebut telah disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Tambah Sabarodzi, pihaknya menyerahkan dua mangsa maut kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

Operasi yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Norazhan Noor Fauzi itu tamat pada jam 10.20 malam. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bomba jumpa tangan putus dalam operasi padam kebakaran kereta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI