IPOH – Soal kelompangan dalam Akta Antilompat Parti (Akta A1663) berkemungkinan akan dibincangkan pada Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2024, September depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak menolak kemungkinan itu berkata, bagaimanapun perkara berkenaan tidak tersenarai pada sebarang agenda persidangan itu.
Namun katanya, beliau tidak menghalang mana-mana speaker untuk membangkitkan hal itu agar satu persefahaman dapat diwujudkan.
“Apa yang berlaku di Parlimen mungkin boleh jadi garis panduan di peringkat negeri, namun akhirnya setiap negeri ada hak (dalam soal penggubalan undang-undang) berdasarkan kepada Undang-undang Tubuh masing-masing.
“Jadi, dalam kes di Parlimen ia menjadi satu panduan sahaja dan perbincangan yang mungkin akan berlaku (berkenaan kelompongan Akta Antilompat Parti),” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena lawatan kerjanya ke DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Yang Di-Pertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Timbalannya, Jenny Choy Tsi Jen.
Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024 dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 11 September depan di Kuching, Sarawak.
Sebelum ini media melaporkan terdapat pandangan yang meminta agar kelompangan dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Antilompat Parti perlu diperbaiki.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan menggesa untuk ia dilaksanakan bagi mengelak rakyat benci dan muak dengan tindakan wakil rakyat yang bertukar parti.
Mengulas lanjut Johari memberitahu, sekiranya perbincangan berhubung kelompangan akta berkenaan diadakan pada persidangan itu, ia tidak akan melibatkan ahli politik.
“(Perbincangan dalam) persidangan ini tidak ada berkaitan dengan ahli politik. Malah sebelum ini pun kita telah mengadakan persidangan yang melibatkan Setiausaha-setiausaha Dewan (Parlimen dan DUN),” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain Johari berkata, Perak merupakan negeri ketiga dalam siri jelajah bersempena dengan persidangan itu ke semua DUN seluruh negara selepas Melaka dan Negeri Sembilan.
Ujar beliau selepas ini, jelajah berkenaan selepas ini akan ke negeri-negeri di wilayah Utara Semenanjung, sebelum ke negeri di Pantai Timur dan seterusnya Sarawak.
Menurut Johari, ia diadakan sebagai usaha mengeratkan hubungan antara Parlimen dan DUN di samping mengadakan perbincangan dalam usaha memartabatkan kedudukan speaker di dewan masing-masing.
“Apa perkara yang saya belajar di DUN Perak adalah bagaimana peruntukan kerajaan negeri disalurkan kepada pusat khidmat serta adanya jawatankuasa pilihan yang memberi tumpuan kepada isu-isu khusus.
“Saya rasa kita boleh bincang dan memperhalusi perkara ini di peringkat persidangan kita di Sarawak nanti yang akhirnya boleh kita gunakan sebagai garis panduan untuk kita maju ke hadapan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sedia laksana undang-undang kekalkan kerajaan hingga akhir penggal