Penganggur cabul cucu saudara umur enam tahun direman

GERIK – Seorang penganggur yang didakwa mencabul cucu saudaranya di Kampung Kenayat, dekat sini , antara Mac hingga April lalu direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 54 tahun itu dikeluarkan di hadapan Majistret Savinder Singh Jugindar Singh di Mahkamah Majistret Gerik, pada Selasa.

Perintah itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap suspek yang ditahan pada Isnin itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika dihubungi berkata, pihak polis menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung perkara itu pada Ahad lalu.

Katanya, hasil siasatan mendapati kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu dicabul datuk saudaranya di sebuah pondok rehat berhampiran rumah yang didiami mangsa.

Menurut beliau, mangsa telah diperlakukan dengan perbuatan keji itu berulang kali, namun tidak mengadu hal berkenaan kepada sesiapa sebelum akhirnya menceritakannya kepada ibu.

“Kejadian cabul itu berlaku antara Mac dan April lalu di mana suspek dikatakan mengurut perut mangsa bagi tujuan ‘membuang angin’ sebelum bertindak meraba kemaluan kanak-kanak itu.

“Mangsa cuba melawan namun telah diberi amaran oleh suspek. Disebabkan bimbang akan diapa-apakan, mangsa hanya bertindak mendiamkan diri,” katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, Azizi menasihati orang ramai supaya berwaspada dan melindungi anak masing-masing daripada kejadian seumpama itu.

“Polis meminta orang awam untuk tidak menimbulkan spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan kejadian ini,” ujarnya lagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis tahan doktor disyaki cabul pelajar sekolah

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI