IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mewujudkan Skim Bantuan Kebajikan Siswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi membantu golongan pelajar asnaf fakir miskin dan B40 yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, bantuan ‘one off’ berjumlah RM360,000 diperuntukkan kepada lapan IPT di sekitar negeri ini.
Menurutnya, lapan IPT yang menyumbang kepada pungutan zakat dan mempunyai Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat menerima manfaat skim ini melibatkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, UiTM Tapah, Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Kuala Lumpur RCMP (UniKL RCMP).
“Bantuan-bantuan itu akan diuruskan sendiri oleh IPT tersebut dan ia tidak disalurkan secara tetap kepada pelajar dan hanya diberikan apabila ada keperluan.
“Sebenarnya bantuan yang diberikan pada hari ini adalah sebahagian daripada bantuan yang sudah kita berikan kepada pelajar yang layak dari aspek pendidikan.
“Di bawah bantuan pendidikan sahaja, kita sudah memperuntukkan hampir RM35 juta melibatkan murid tahun satu sehingga ke peringkat pengajian tertinggi.
“Kita juga akan mengkaji dari semasa ke semasa sama ada bantuan yang diberikan itu relevan atau tidak dengan keadaan semasa. Jadi itu adalah antara inisiatif yang MAIPk sedang lakukan pada ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Kebajikan Siswa IPT 2024 di Dewan Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar.
Dalam perkembangan berkaitan, Syamsul Hazeman berkata, bantuan tersebut diberi keutamaan kepada anak Perak yang layak.
“Menyentuh mengenai derma siswa, bantuan yang kita bagi secara bulanan ataupun setiap semester diutamakan kepada anak-anak Perak kerana negeri lain turut menyediakan bantuan sama melalui majlis agama masing-masing,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] MAIPk sampaikan bantuan kebajikan siswa IPT RM360,000 […]