IPOH – Kesunyian, lalu melayan individu tidak dikenali dikenal pasti antara punca utama ramai wanita berusia lebih 40 tahun mudah terjerat dengan ‘Love Scam’ meskipun sudah banyak laporan mengenainya didedahkan di media massa.
Asisten Superitendan Mohamad Mahathir Abdullah Sapawi dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak berkata, kebanyakan wanita yang bekerja dalam bidang profesional seperti doktor dan pensyarah menjadi sasaran penipuan ini kerana mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
“Kebiasaannya scammer ini sudah ada modus operandi iaitu menyasarkan wanita yang memiliki banyak sumber kewangan
“Mangsa akan berkenalan dengan suspek menerusi media sosial dan suspek menyamar sebagai juruterbang, ahli perniagaan, tentera atau jurutera dalam bidang minyak dan gas,” katanya selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Kesedaran Jenayah Komersial, Selamatkan Wanita Dari Love Scam’ di sini hari ini.
Mohamad Mahathir berkata, suspek akan menggunakan kata-kata manis hingga mangsa jatuh cinta hanya dalam tempoh antara satu hingga tiga bulan sahaja.
“Suspek melakukan tipu daya dengan memberi alasan seperti mahu memberi hadiah, pelaburan perniagaan, wasiat termasuk pembayaran bil hospital,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 13,597 laporan membabitkan jenayah siber dengan jumlah kerugian kira-kira RM110 juta direkodkan di Perak sepanjang tahun lepas.
Sementara itu, Wanita Ikon Perak Tina Tajuddin berkata, golongan wanita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi terutamanya dalam menangani jenayah siber.
“Mereka juga perlu melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang boleh menghilangkan rasa kesunyian supaya tidak terjebak dengan penipuan cinta dalam talian.
“Jangan disebabkan cinta, maruah dan ekonomi boleh tergadai,” katanya. -BERNAMA
Artikel Berkaitan: