Jelajah Komunikasi kekang jenayah siber diteruskan di Perak

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan meneruskan Inisiatif Jelajah Komunikasi seluruh negeri dalam usaha mencegah lebih ramai rakyat menjadi mangsa sindiket penipuan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, program yang dilaksanakan tahun lalu itu diteruskan selepas mengambil kira peningkatan jumlah mangsa penipuan terutamanya melibatkan jenayah dalam talian.

Menurut beliau, orang ramai akan diberi pengetahuan terhadap senario terkini jenayah scammer dengan tujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan serta perlindungan di internet.

“Jelajah ini turut disertai agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Digital Perak, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Stratcom, Telekom Malaysia dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Sehingga Februari ini kita telah melawat empat kawasan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang, Slim, Manong dan Bukit Chandan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, pada Rabu.

Mohd Azlan turut mendedahkan, terdapat pelbagai jenis scammer wujud antaranya Phone Scam, Phising, Love Scam dan Jenayah E-Dagang yang menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai penguat kuasa, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan.

“Panggilan ini dengan tujuan dan pelbagai alasan untuk meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan atau memindahkan wang.

“Bagi sindiket Phising pula merupakan kaedah mendapatkan maklumat peribadi seperti perbankan orang lain melalui laman web palsu yang menyerupai laman web asal,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta orang awam berhati-hati mengakses ke laman jual beli dalam talian, permainan siber dan perbankan dalam talian menggunakan internet percuma di kawasan umum seperti restoran, pasar raya dan lapangan terbang. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI