Seludup dadah ke penjara guna dron

TAPAH – Polis merampas sebuah dron yang digantung beg dobi berisi dadah dipercayai digunakan untuk menyeludup bahan terlarang itu di Penjara Tapah, di Tapah Road, dekat sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, sebelum itu seorang sarjan penjara telah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 5 petang.

Katanya, hasil siasatan mendapati pengadu telah menemukan sebuah dron berwarna putih di atas bumbung Blok Aman Penjara Tapah semasa melakukan rondaan pada jam 11.30 pagi, hari sama.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan yang dibuat oleh pengadu, beliau telah menjumpai satu beg dobi yang digantung pada dron tersebut.

“Sementara di dalamnya terdapat satu peket plastik lut sinar mengandungi tiga peket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis Heroin anggaran berat 122 gram.

“Turut ditemukan dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 12.9 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Azizi, berdasarkan siasatan awal mendapati, modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron dari luar, dan ia merupakan kes pertama yang diterima berlaku.

Kata beliau, kes yang pertama kali diterima polis seumpama itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama.

“Justeru itu, Polis Perak memandang serius kes-kes melibatkan aktiviti penyeludupan dadah.

“Polis Perak juga akan menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas penjenayah kes-kes penyeludupan dadah terutamanya melibatkan penjara,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dua warga China ditahan jual rokok seludup

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI