Seludup dadah guna dron: Polis rekod percakapan lima individu

IPOH – Polis telah merekodkan percakapan lima individu susulan kes cubaan menyeludup dadah di Penjara Tapah, di Tapah Road, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, lima individu terbabit adalah pegawai penjara, penjaga pengawal kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal pos.

Menurutnya, bagaimanapun setakat ini tiada sebarang tangkapan yang dibuat berhubung kes tersebut.

“Kita masih menjalankan siasatan siapa yang terlibat daripada luar yang mengirimkan dron dan siapa yang bakal menerima di dalam lokasi penjara namun setakat ini belum boleh mengagak siapa yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Bagaimanapun kita percaya ada sindiket yang terlibat dan kita sedang pantau. Pihak Bukit Aman juga telah ambil alih siasatan perkara ini untuk dilihat dari semua aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizi berkata, siasatan awal mendapati, kawasan penjara berkenaan dilengkapi dengan CCTV bagi mengawal keselamatan dan pergerakan.

“Namun, semasa kejadian ini berlaku, CCTV itu tidak dapat mengesan kehadiran dron kerana diterbangkan terlalu tinggi.

“Mereka kemudiannya menjatuhkan bahan dadah dengan melepaskan dari kawasan tinggi terus ke bawah. Cuma yang kita dapat baru-baru ini, dron itu tidak dapat dikawal dan jatuh atas tempat yang kita temui,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan rekod sejak 2022, telah berlaku beberapa kes membawa masuk dadah ke Penjara Tapah yang membabitkan tangkapan banduan dan rampasan dadah antaranya heroin, methamphetamine dan pil yaba.

Katanya, kejadian membawa dadah masuk ke dalam penjara bukan kali pertama namun yang melibatkan dron jatuh adalah pertama kali dijumpai di kawasan tersebut.

Terdahulu, media melaporkan polis merampas sebuah dron yang digantung beg dobi berisi dadah jenis heroin dan Methamphetamine ketika cuba diseludup masuk di Penjara Tapah pada Jumaat lalu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seludup dadah ke penjara guna dron

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI