Sembilan pemandu lori dikesan positif dadah

IPOH – Seramai sembilan pemandu kenderaan perdagangan disahkan positif dadah sepanjang 13 hari Operasi Khas Kenderaan Perdagangan secara bersepadu dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Ogos lalu.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kesemua pemandu terbabit dikesan mengambil barang terlarang methamphetamine hasil pemeriksaan kenderaan perdagangan yang dilakukan di sekitar negeri ini

Menurutnya, antara kesalahan tertinggi lain yang turut dikesan termasuklah tiada lesen memandu kompeten (CDL), cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans serta kesalahan teknikal seperti ubah suai kenderaan, tayar dan cermin gelap.

Tambahnya, operasi itu dilaksanakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 33) serta Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Sepanjang 13 hari operasi dilaksanakan, sebanyak 20,358 kenderaan diperiksa dengan 6,247 daripadanya adalah kenderaan perdagangan.

“Sebanyak 581 kenderaan perdagangan telah diambil tindakan dan tiga daripadanya turut disita. Kita turut mengeluarkan 1,524 notis kesalahan kepada kenderaan perdagangan yang terlibat,” katanya.

Operasi Khas Kenderaan Perdagangan: 9 pemandu lori dikesan positif dadah
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak, Mohammad Yusoff Abustan (kiri) menunjukkan Lesen Niaga Kenderaan yang disalahguna oleh pemandu ketika hadir pada Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Bersama Agensi Penguatkuasa dan Konsesi Lebuh Raya Tahun 2024 di RTC Perak, Gopeng, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 OGOS 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Bersama Agensi Penguatkuasa dan Konsensi Lebuhraya 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini, pada Rabu.

Operasi khas kenderaan perdagangan itu turut melibatkan agensi penguatkuasan yang lain seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Plus Malaysia Berhad (PLUS).

Dalam pada itu, Mohammad Yusoff berkata, pada 7 Ogos lalu, sebuah lori telah disita kerana dikesan mempunyai tujuh kesalahan serta boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Tujuh kesalahan tersebut adalah pemandu tiada lesen CDL dan GDL (lesen memandu kenderaan barangan) cukai jalan dan perakuan PUSPAKOM tamat tempoh sejak 2021, tiada perlindungan insurans sejak 2021, mempamerkan kenderaan lain macam mengelirukan pihak JPJ dengan membabitkan nombor pendaftaran kenderaan lain serta tidak mengisytiharkan nombor enjin.

Operasi Khas Kenderaan Perdagangan: 9 pemandu lori dikesan positif dadah
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak, Mohammad Yusoff Abustan (kanan) menunjukkan besi penyendat kayu balak pada Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Bersama Agensi Penguatkuasa dan Konsesi Lebuh Raya Tahun 2024 di RTC Perak, Gopeng, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 OGOS 2024.

“Lori berkenaan disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987,” jelasnya.

Katanya, dua kenderaan lain yang turut dikesan melakukan kesalahan serius adalah membabitkan bas sekolah menggunakan nombor pendaftaran kenderaan perdagangan untuk tujuan lain.

“Selain itu, kita turut mengesan lori yang membawa muatan bahaya iaitu kayu penyendal.

“Kita telah ambil tindakan ke atas lori terbabit kerana kayu penyendal ini sepatutnya diletakkan di tempat khas dan diikat dengan sekuat-kuatnya bagi mengelakkan kejadian kemalangan daripada berlaku,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan perdagangan supaya sentiasa bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah dltetapkan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dari semasa ke semasa.

Katanya, ini bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya seterusnya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ops Khas HRA 2024: JPJ Perak keluar lebih 10,000 notis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI