IPOH – Polis menahan seorang banduan lelaki warga Iran selepas disyaki memiliki dadah jenis Heroin di Penjara Tapah, pada Rabu.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan ketika pegawai penjara sedang melakukan rondaan sekitar jam 1.15 tengah hari.
Katanya, ketika menghampiri, pegawai berkenaan ternampak banduan tersebut mengambil sesuatu dari dalam seluar dan mencampakkan satu bungkusan plastik di atas lantai.
“Pegawai penjara telah memeriksa plastik tersebut dan menjumpai dua paket plastik lutsinar, iaitu satu berwarna kuning berisi disyaki dadah jenis Heroin anggaran berat 46.00 gram (g).
“Sementara satu lagi paket plastik lutsinar berisi bahan berwarna merah jambu disyaki dadah jenis Heroin anggaran berat 30.00 g turut ditemukan.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM 1,900,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Khamis.
Tambah beliau, anggaran jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan untuk 50 orang penagih dadah.
Menurut Azizi, hasil semakan juga mendapati banduan yang berada di Penjara Tapah sejak tahun 2018 itu telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun.
Katanya beliau lagi, lelaki warga Iran itu didapati memiliki 10 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan empat kes berkaitan jenayah.
Di samping itu, beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dari mana dan bagaimana dadah berkenaan diperoleh masuk ke penjara tersebut.
Mengulas lanjut, Azizi memberitahu polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek termasuk menyiasat kemungkinan mempunyai kaitan dengan insiden menyeludup dadah menggunakan dron pada minggu lalu.
“Kita akan siasat juga daripada pelbagai sudut untuk mengenal pasti sama ada banduan warga Iran itu mempunyai kaitan dengan kes seludup dadah guna dron atau sebaliknya.
“Pada masa sama, kita juga sedang berkolaborasi dengan Jabatan Penjara untuk merakam keterangan banduan-banduan. Dan ini adalah prosedur biasa dalam siasatan polis,” katanya.
Jelas beliau, keterangan yang diambil daripada lima pegawai Penjara Tapah sebelum ini juga merupakan prosedur biasa bagi proses siasatan, yang mereka mereka merupakan saksi dan bukan individu yang disyaki. – MG Perak
Artikel Berkaitan: