Tiga ditahan berkait laporan palsu penemuan bayi

IPOH – Polis menahan tiga individu termasuk satu pasangan berhubung penemuan bayi perempuan yang masih bertali pusat dan uri di belakang tong sampah di Pekan Titi Serong, Parit Buntar, pada Rabu.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, penahan mereka susulan pihaknya mendapati terdapat keraguan dan percanggahan fakta pada laporan polis yang dibuat dua lelaki sebelum ini.

“Hasil siasatan lanjut ke atas kedua-dua lelaki tersebut mendapati, laporan polis yang dibuat oleh mereka adalah palsu.

“Ini kerana bayi tersebut merupakan anak kepada lelaki yang membuat laporan polis itu hasil hubungan sulit dengan seorang perempuan berumur 20 tahun yang tinggal di Tanjung Piandang.

“Susulan daripada pengakuan tersebut, pihak polis telah menahan dua lelaki (bapa dan rakan) masing-masing berusia 24 dan 22 tahun, serta perempuan berkenaan yang juga bekerja di sebuah kilang di Parit Buntar,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Jumaat.

Jelas Azizi, sebelum itu pihak polis menerima laporan daripada dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 22 tahun berhubung penemuan seorang bayi perempuan di Pekan Titi Serong, pada jam 5.45 petang, 14 Ogos.

Dalam pada itu beliau berkata, kes yang disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan akan diklasifikasikan semula selepas dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Jumaat.

Menurut beliau, kertas siasatan akan dibuka termasuk di bawah kes berkaitan dengan kesalahan membuat laporan palsu.

“Kita berjaya mengesan laporan palsu yang dibuat dua lelaki itu dalam tempoh 24 jam. Dan setakat ini bayi perempuan terbabit masih berada di Hospital Parit Buntar,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan, polis menerima maklumat berkenaan penemuan bayi perempuan di belakang tong sampah di Pekan Titi Serong selepas terdengar bunyi merengek Rabu lalu.

Bayi yang masih hidup itu ditemukan berhampiran jalan raya utama berdekatan sebuah bengkel motosikal dan kedai runcit. – MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI