Kes bunuh Nuraina Humaira adalah pertama berlaku di kampung ini – Tok Batin

SUNGAI SIPUT – Kejadian pembunuhan kanak-kanak perempuan Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, 10, adalah kejadian pertama berlaku di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini.

Kanak-kanak itu yang disyaki dirogol sebelum dibunuh ditemui dalam keadaan terbaring dalam kawasan paya di kampung berkenaan pada Sabtu lalu.

Tok Batin Hadu Long, 66, berkata, sejak dilantik memegang jawatan itu dari tahun 2005 hingga kini, itu adalah kejadian jenayah yang serius pernah berlaku sehingga mengejutkan penduduk di kampung ini.

Menurutnya, suasana di kampung agak suram malah ada juga meluahkan rasa kurang selamat selepas berlakunya kejadian yang menimpa murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu.

Kes bunuh Nuraina Humaira adalah pertama berlaku di kampung ini – Tok Batin
Bapa saudara mangsa, Zulkefli Angah, 21, menunjukkan lokasi penemuan mayat Nuraina Humaira Rosli, 10, kanak-kanak yang ditemui mati di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu. Foto ABDULLAH YUSOF, 19 OGOS 2024

“Dalam dua tiga hari ini, memang agak panik kerana pihak berkuasa seperti polis, bomba dan RELA masuk ke kampung untuk membantu mencari Nuraina Humaira yang dilaporkan hilang sejak Jumaat.

“Sebagai ketua yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan keselamatan penduduk, saya terkilan dengan apa yang berlaku.

“Kita semua berasa sedih, kes sebegini memang sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya ketika ditemui di Kampung Bersah, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan kira-kira 200 orang penduduk kampung tersebut untuk memberikan taklimat dalam masa terdekat.

“Sehubungan itu, saya berharap kes rogol dan bunuh seperti ini tidak akan berlaku lagi di sini dan kampung Orang Asli yang lain,” jelasnya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Zulkefli Angah, 21, ketika ditemui masih sedih dan sebak dengan pemergian anak saudaranya.

Dia yang bekerja sebagai bilal, imam dan guru mengaji masih tidak mampu mengawal perasaan kerana masih teringat keletah Nuraina Humaira yang sangat manja.

“Apabila saya lihat dia dalam keadaan itu waktu dijumpai, saya lari kerana terlalu sedih dan terkilan sangat. Kami ingat dia mandi di sungai atau bermain di rumah kawan… tak sangka sampai babitkan kes kematian.

“Sampai sekarang kami masih terbayang keletah arwah yang manja sehingga waktu malam pun susah nak tidur,” ujarnya.

Sebelum ini, MG Perak melaporkan, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil bedah siasat ke atas mangsa menemukan kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher mangsa. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI