IPOH – Kontinjen Perak menambah empat pingat perak dan tujuh gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak setakat jam 8 pagi ini.
Pingat perak disumbangkan menerusi 4X400 meter (m) lari berganti-ganti lelaki, judo dan catur manakala gangsa diperoleh melalui acara 400m lelaki, acara terjun seirama 3m platform lelaki, judo dan silambam wanita.
Kuartet D Samuel, Muhammad Anas Muhammad Zubair Kanan, Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin dan N Kanishkann hanya mampu meraih pingat perak dengan catatan masa 3:12.99 saat (s) di belakang pemenang pingat emas Johor.
Kehadiran pelari 400 meter negara, Umar Osman bersama Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar, Mohamad Akmal Haziq Mohd Zahari dan Wills Harnessy Gindal merakamkan catatan terpantas 3 minit 12.35 saat pada aksi final di Stadium Sarawak.
Manakala gangsa diraih Sabah menerusi Aubrey Aron, Muhammad Fahami Samsudin, Edrick Feivel Florentius dan Muhammad Khalil Helmi (3:13.40).
Nur Kamilia Adlina yang mewakili acara judo wanita melebihi 63 kilogram (kg) dan Najmin Samari yang mewakili acara judo lelaki bawah 73 kg berpuas hati dengan pingat perak.
Di Dewan Jubli UiTM Kota Samarahan, pemain catur Perak, Tan Sue Ann tumpas di tangan wakil Johor, Ainul Mardhiah Mohd Afif yang memenangi emas bagi kategori rapid individu wanita.
Sementara itu, skuad judo Perak memperoleh empat pingat gangsa menerusi Muhammad Izdihar Hakimi Shahril Nizam bagi acara judo lelaki bawah 55 kg, Najmuddin Samari (lelaki bawah 60 kg), Muhammad Aidid Zuraidi (lelaki bawah 66 kg) dan Nor Shazreen Samsul Anuar (wanita bawah 63 kg).
Atlet silambam, D Vaishnavii turut menyumbang pingat gangsa menerusi acara poruthal melebihi 70 kg wanita sewaktu beraksi di Hikmah Exchange Event Centre Kuching.
Dua pingat gangsa lagi disumbangkan N Kanishkann menerusi acara olahraga 400m lelaki dengan catatan masa 48.42s serta duo Chan Min Hern dan Muhammad Ahza Dzakirin Alizar acara terjun seirama 3m platform dengan memungut 277.86 mata. – MG Perak
Artikel Berkaitan: