TANJUNG MALIM – Pasukan sukarelawan RESQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turun padang menjalankan misi bantuan banjir kepada penduduk Slim Village ditimpa musibah itu susulan kejadian kepala air di kawasan tersebut.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, warga UPSI sentiasa cakna dan mengambil berat mengenai musibah yang melanda di daerah Muallim.
Menurutnya, misi pembersihan pasca itu dilaksanakan seawal jam 8 pagi hingga jam 7 petang semalam.
“Antara kakitangan UPSI yang turut terjejas akibat musibah banjir ini termasuklah Pengawal Keselamatan UPSI, Mohd Firdaus Ahmad dan Pegawai Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI), Norshahidah Abdul Rahman.
“Kami membawa pasukan sukarelawan RESQ Team UPSI bagi membantu menjalankan misi bantuan banjir ini kepada mangsa yang terlibat di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Koordinator Misi Pasca Banjir Daerah Muallim, Profesor Dr Mohd Azlan Nafiah berkata, sehingga kini terdapat 20 buah rumah mangsa banjir di Kampung Pasir, Ulu Slim terjejas dengan musibah banjir ini.
“Seramai 10 sukarelawan dari Kolej Awang Had Salleh serta kakitangan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) turut sama terlibat dalam misi bantuan banjir ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin yang turut serta dalam misi bantuan itu berkata, UPSI sentiasa prihatin dengan mangsa banjir sekitar Muallim.
“Kami menggerakkan pasukan RESQ Team dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, pam air, waterjet serta peralatan pembersihan bersesuaian untuk memudahkan pengurusan bantuan,” jelasnya.
Semalam, Md Amin bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir, Ulu Slim dan rumah mangsa banjir di kampung berkenaan seta meninjau lokasi runtuhan jambatan lama Ulu Slim. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Insiden kepala air, empangan pecah Slim River: 175 individu ditempatkan di dua PPS