Perak puas hati capai sasaran 35 pingat emas pada Sukma 2024

IPOH – Kerajaan Perak berpuas hati dengan pencapaian kontinjen negeri itu selepas berjaya mencapai sasaran 35 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang berakhir Sabtu lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, susulan keputusan itu, kontinjen negeri akan meningkatkan prestasi atlet bagi menghadapi Sukma 2026 yang akan diadakan di Selangor.

“Target (sasaran) kita memanglah kita hendak sekurang-kurangnya 35 pingat emas dan kedudukan kelima sepatutnya tapi kita tak tercapai dan mendapat tempat ketujuh.

“Walaupun beberapa acara yang sepatutnya dapat emas terlepas, tapi ada acara yang tak patut dapat emas, kita dapat.

“Justeru, kita akan memperbaiki kelemahan-kelemahan kita untuk dua tahun akan datang di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan memberi insentif tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap rekod kebangsaan yang berjaya dipecahkan atlet angkat berat wanita Perak, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani.

Katanya, atlet berusia 19 tahun itu telah memecahkan tiga rekod kebangsaan kategori 45 kilogram (kg) wanita melibatkan acara snatch dengan angkatan seberat 65kg, clean and jerk (79kg) seterusnya mendominasi podium dengan angkatan keseluruhan 144kg.

“Sehubungan itu, beliau akan menerima ganjaran RM5,000 untuk satu pingat emas diperolehinya campur RM3,000 (untuk tiga rekod kebangsaan yang dipecahkan),” jelasnya.

Pasukan Belang Tarung Tiga Warna itu pada kedudukan ketujuh di belakang Johor (keenam), Terengganu (kelima), Pulau Pinang (keempat), Selangor (ketiga), Wilayah Persekutuan (kedua) dan Sarawak (pertama).

Selain itu, kontinjen Perak turut meraih 37 pingat perak dan 56 gangsa pada Temasya Sukma Edisi ke-21 itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

SUKMA 2024: Perak capai sasaran 35 emas, tempat ketujuh

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI