IPOH – Yayasan Perak buat julung kali menganjurkan Program Pembangunan Eksekutif (EDP) untuk membangunkan modal insan berkualiti serta membentuk pemimpin dinamik dan berketrampilan di negeri ini.
Pengurus Besarnya, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, menerusi program tersebut pihaknya telah mengenal pasti 10 kompetensi yang melibatkan sebahagian daripada pembangunan kepimpinan bagi menyokong agenda pembangunan negeri Perak
“Kita adakan program ini bagi membangunkan kompeteni pegawai di negeri Perak bagi menyokong agenda Perak Sejahtera 2030.
“Seramai 300 peserta terlibat pada program ini dan ia adalah program berbayar. Ini komitmen daripada setiap ketua jabatan untuk membangunkan potensi pegawai masing-masing,” katanya ketika ditemui media di Casuarina, Meru di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, siri pertama program yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan kompetensi pertama iaitu Komunikasi Berimpak Tinggi dan Berkesan bersama speaker terkenal, Rizal Rashid.
Sembilan kompetensi lain adalah Pengurusan Konflik, Kemahiran Berfikir Kritis, Proses Membuat Keputusan yang Berkesan, Kemahiran Pembentangan Berimpak Tinggi, Kemahiran Membina Rangkaian Kerjasama, Pemikiran Strategik, Imej dan Etika Profesional, Kemahiran Perundingan yang Baik dan Perancangan Strategik dan Pemerkasaan.
“Sehubungan itu, program ini akan diteruskan bagi sembilan kompetensi lain yang dijangka akan diadakan di Ipoh melibatkan semua daerah seluruh Perak pada masa hadapan.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melancarkan Program EDP di Pusat Konvensyen Casuarina di sini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah. – MG Perak
Artikel Berkaitan: