UPSI lahirkan 19 graduan kumpulan pertama program guru takmir

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melahirkan kumpulan pertama siswazah daripada program Pensijilan Profesional Guru Takmir terdiri daripada 19 graduan dalam majlis graduasi di Panggung Percubaan, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, dekat sini, Khamis lalu.

Menurut UPSI dalam satu kenyataan, majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Zulkifli dalam ucapannya berkata, pengajian di bawah Program Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI bersama Kibas Enterprise itu membukti ikatan kerjasama yang bermanfaat dalam melahirkan guru takmir.

“Majlis graduasi itu sebagai satu simbolik pengiktirafan terhadap keilmuannya sebagaimana Islam menekankan betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan seorang Muslim.

“Melalui ilmu yang dimiliki, para graduan hendaklah berusaha memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara, serta menggunakan ilmu tersebut untuk memajukan umat Islam dan mengangkat martabat agama di mata dunia,” katanya.

UPSI graduan pertama program guru takmir umat islam graduasi Pensijilan Profesional Guru Takmir majlis Zulkifli agama
Antara graduan yang hadir sempena majlis Pensijilan Profesional Guru Takmir. foto IHSAN UPSI

Sementara itu, Md Amin berkata majlis graduasi itu menjadi peristiwa bersejarah yang signifikan serta mencerminkan kejayaan bersama membentuk kerjasama strategik yang membawa manfaat besar.

Tambah beliau, UPSI mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang keilmuan serta lengkap dengan kemudahan pembelajaran sesuai dengan perkembangan semasa.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Abdul Rahim Razalli berpuas hati dengan pencapaian para graduan dan mengiktiraf atas segala kesungguhan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh pengajian.

Kata beliau, UPSI melatih graduan bukan hanya untuk menjadi pendidik dan pemimpin dalam bidang agama, tetapi juga sebagai individu yang berperanan besar dalam memajukan masyarakat serta negara.

Justeru beliau berharap agar graduan dapat meneruskan pembelajaran susulan dunia semakin berkembang dalam menghadapi cabaran dan peluang global.

“Amalkan sikap rendah diri dalam berkhidmat kepada masyarakat, kerana sifat rendah diri menjadikan anda lebih mudah didekati, dipercayai, dan dihormati.

“Graduan mempunyai peranan yang kritikal dalam membentuk sebuah masyarakat yang bukan sahaja berdaya maju dari segi material, tetapi juga berakar pada nilai-nilai murni Islam,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KBS, UPSI anjur Debat Piala Rakan Muda 2024

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI